1.0       PERANAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (TMK)

Teknologi maklumat boleh ditakrifkan sebagai sebarang kaedah yang digunakan untuk memindah, menyebar dan memapar maklumat. Menurut Jamalludin Harun & Zaidatun Tasir (2003), Teknologi Maklumat (Information Technology) atau IT dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Information and Communication Technology) atau TMK merupakan teknologi yang diperlukan untuk pemprosesan data. Ruang lingkup tajuknya sangat luas iaitu ia berkenaan segala aspek dalam pengurusan dan pemprosesan maklumat. Secara tepat dan mudah, ia merujuk kepada penggunaan komputer dan perisian untuk mengubah, menyimpan, melindungi, memproses, memindah, melihat dan mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan waktu.


Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) memainkan peranan yang amat penting dalam kehidupan manusia pada masa ini, khususnya dalam bidang pendidikan (Bird, J. & Caldwell, H.,2014). Bidang pendidikan yang dimaksudkan adalah peranan atau fungsi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) di dalam sistem pendidikan di Malaysia. Berikut merupakan pecahan peranan Teknologi Maklumat dan Komunikasi : (rujuk rajah 1)
Rajah 1 : Peranan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam bidang Pendidikan di Malaysia

1.1       Peranan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam Pengurusan Kurikulum Sekolah Rendah


Menurut Jamalludin Harun & Zaidatun Tasir (2005), Teknologi Maklumat dan Komunikasi  (TMK) sememangnya dapat membantu pengurus pendidikan dalam membuat keputusan, menyesuaikan diri dengan perubahan dan selanjutnya dapat meningkatkan komunikasi dalam organisasinya. Pengurus sekolah tidak dapat memisahkan dirinya daripada membuat keputusan pada setiap hari kerana ini merupakan elemen penting dalam mentadbir dan mengurus sekolah.

Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) sangat membantu dan menolong pengurus sekolah untuk berfungsi dengan lebih cekap, berkesan, mudah, cepat dan membuat keputusan yang baik. TMK digunakan dalam mengendalikan proses dan kerja pengurusan dan pentadbiran seperti pendaftaran murid, pelbagai rekod, kawalan inventori, jadual waktu, opsyen guru, bilangan waktu mengajar, hal yang berkaitan peperiksaan, pembelian stok dan sebagainya. Ini bersesuaian dengan pendapat Laudon (1997) yang menyatakan sistem maklumat dan komunikasi adalah komponen-komponen yang bersepadu yang mengumpul dan menyimpan maklumat bagi membantu organisasi membuat keputusan, merancang, mengawal dan menganalisis.

Menurut Beauchamp, G. (2012), secara umum TMK dapat menukarkan data-data mentah yang tidak memberi makna kepada maklumat yang tersusun dan berguna apabila ianya diproses, disimpan dan boleh dikemaskinikan dengan mudah dan cepat dengan menggunakan pelbagai perisian komputer yang ada. Maklumat-maklumat yang telah diproses ini sudah tentu dapat membantu pengurus sekolah membuat keputusan-keputusan yang tepat dan berguna dalam perancangan, pemantauan dan kawalan.

Sebagai contoh dengan menggunakan sistem maklumat berasaskan komputer, maklumat mengenai pencapaian pelajar dalam peperiksaan disimpan, diproses dan dianalisis dalam bentuk graf, carta pai, carta bar, senarai dan jadual-jadual statistik yang mudah membantu pentadbiran sekolah mengesan kekuatan dan kelemahan yang ada dan seterusnya memudahkan mereka membuat perancangan dan program susulan yang sesuai dan dengan sendirinya keputusan yang diambil nanti relevan dengan isu dan masalah yang berbangkit. Maklumat berkaitan murid tidak hanya terhad kepada peperiksaan semata-mata kerana mereka merupakan komuniti utama dalam sesebuah sekolah. Maklumat berkaitan murid termasuklah maklumat peribadi, pencapaian akademik, penglibatan kokurikulum, disiplin, sahsiah, buku teks, biasiswa dan sebagainya boleh dicapai dengan mudah dan cepat untuk kegunaan pengurusan sekolah dengan bantuan teknologi TMK.

Dulu maklumat yang disimpan di dalam fail kurang membantu dan dimanfaatkan kerana sukar dicapai. Tetapi kini dengan bantuan TMK, pengurusan sekolah dapat bekerjasama, berurusan dan membantu pihak luar seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis, Mahkamah dan pihak-pihak tertentu dengan lebih mudah dan cepat apabila maklumat sentiasa dapat dikemaskinikan Guru besar sebagai pengurus sekolah perlu membuat keputusan yang adil, bijak dan menyenangkan staf dan guru-guru sekolah. Umpamanya dalam menentukan prestasi, kecemerlangan, dan peluang-peluang kenaikan pangkat, suatu rekod dan maklumat yang lengkap dan kemas kini amatlah diperlukan supaya keputusan penilaian itu tepat dan tidak diragui. Rekod-rekod sumbangan, penglibatan dan penghargaan yang diterima dan tindakan proaktif yang positif boleh diperoleh dengan mudah melalui sistem maklumat staf yang ada yang membantu pengurusan sekolah membuat keputusan yang tidak membuta tuli.

Selain itu tugas pengurusan pejabat yang berkaitan dengan pengurusan kewangan, pengurusan stok, inventori, pembelian dan pelupusan barang memerlukan satu sistem yang memudahkan pengurusan sekolah membuat keputusan-keputusan penting. “Sistem Sokongan Keputusan” (DSS) adalah perisian komputer yang boleh menganalisis data dan dapat memudahkan pembuatan keputusan berdasarkan output yang ditunjukkan.

Reigelath (1987) berpendapat struktur sistem pendidikan semakin rendah apabila masyarakat cepat berubah dengan teknologi tinggi yang berorientasikan maklumat. Berdasarkan kenyataan tersebut tidak dapat tidak pengurus pendidikan memainkan peranan dan tanggungjawab penting dalam menghadapi cabaran ke arah arus perubahan keseluruhan sistem pentadbiran dan pengurusan sekolah. Bermula dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran, pendekatannya harus disesuaikan dengan arus perkembangan TMK terkini.

Dalam konteks ini guru bukan lagi dilihat sebagai sumber utama untuk menyampaikan maklumat tetapi lebih sebagai pemudah cara. Sebagai pengurus pendidikan sewajarnya memastikan guru-guru mempunyai kebolehan dan kemahiran memperoleh maklumat daripada pelbagai sumber untuk tujuan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dan tahu menggunakan teknologi komunikasi seperti CD Rom, cakera padat, video, komputer, komputer bimbit, dan perisian-perisian aplikasi komputer seperti e-mail, pangkalan data, pemprosesan perkataan, hamparan eletronik, Internet, perisian persembahan dan lain-lainnya. Menurut Stair & Reynolds (1999), tujuan utama sistem maklumat dan komunikasi adalah untuk membantu organisasi mencapai matlamat-matlamatnya dengan membekalkan pengurus-pengurus dengan “insight” ke atas operasi organisasi supaya mereka dapat mengawal, mengelola dan merancang dengan lebih berkesan dan lebih cekap. Justeru itu pengurus sekolah seharusnya menyiapkan diri dengan kepakaran dan kelebihan dalam teknologi maklumat ini kerana kemampuan mereka itu akan memudahkan sekolah diurus dengan berkesan dan cemerlang dan boleh menghadapi perubahan-perubahan drastik dalam dunia pendidikan.

Kesimpulannya, pada abad ke-21 di mana masyarakat sentiasa berkembang dengan pesat. Semua warga sekolah perlu melengkapi dengan pengetahuan dan kebolehan dari aspek kognitif, afektif dan psikomotor Integrasi teknologi TMK dan komunikasi dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) perlu dilaksanakan secepat mungkin di sekolah. Kejayaan pelaksanaan teknologi ini adalah tergantung kepada semua warga sekolah dan pihak swasta.

1.2       Peranan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) sebagai Satu Mata Pelajaran

Umum sedia maklum, Mata Pelajaran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) diajar di sekolah rendah pada Tahap II sahaja, iaitu diajar kepada Tahun 4, 5 dan 6. Pada Tahap II, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) diajar sebagai satu mata pelajaran sebagai persediaan ke sekolah menengah yang menekankan kepada  penguasaan  ilmu  pengetahuan  dan kemahiran disiplin ilmu TMK (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2010) yang berteraskan Standard Kandungan dalam Dunia Komputer, Eksplorasi Multimedia, Sistem Rangkaian dan Dunia Internet, Dunia Pangkalan Data dan Pengaturcaraan.

Matlamat Standard Kurikulum TMK Tahap II adalah  untuk menyediakan penanda aras pencapaian murid dari Tahun 4 hingga Tahun 6. Ini adalah bagi memastikan murid menguasai pengetahuan dan kemahiran khusus disiplin ilmu TMK yang perlu dipelajari, menggalakkan kreativiti dan menyediakan pembelajaran yang menarik. Sehubungan dengan itu, di akhir pembelajaran TMK Tahap II, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia berobjektifkan murid akan dapat:


  • 1.    Memahami tentang perisian dan peranti komputer.
  • 2.    Memahami ukuran data dan keselamatan komputer.
  • 3. Menggunakan pengetahuan multimedia dan aplikasi khusus untuk membangunkan persembahan multimedia tak linear.
  • 4.    Memahami rangkaian komputer dan fungsi Internet.
  • 5.    Memahami data, maklumat dan membangunkan pangkalan data.
  • 6.    Mengenali pengaturcaraan dan memahami algoritma untuk membangun atur cara.
  • 7.    Menjana idea dan maklumat secara kreatif dan inovatif.

Kesimpulannya, banyak peranan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) sebagai satu mata pelajaran. Sehubungan dengan itu, guru perlulah memainkan peranan yang amat penting iaitu dengan mengajar mata pelajaran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) kepada murid-murid berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum Standard dan Pentaksiran (DSKP) Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) mengikut tahun dan modul yang betul agar hasil pembelajaran adalah baik dan efektif.

1.3       Peranan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam Penerapan Elemen Merentas Kurikulum (EMK)


          Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (2013), Elemen Merentas Kurikulum atau EMK unsur nilai tambah yang diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran selain yang ditetapkan dalam standard kandungan. Elemen- elemen ini diterapkan bertujuan mengukuhkan kemahiran dan keterampilan modal insan yang dihasratkan serta dapat menangani cabaran semasa dan masa hadapan. Elemen merentas kurikulum yang sedia ada adalah seperti Bahasa, Sains dan Teknologi, Pendidikan Alam Sekitar, Nilai Murni dan Patriotisme.

Elemen merentas kurikulum yang baharu, iaitu Kreativiti dan Inovasi, Keusahawanan, serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi dikenal pasti sebagai pelengkap kepada usaha memantapkan kualiti pelaksanaan KSSR. Guru hendaklah memastikan kesemua elemen merentas kurikulum diterapkan secara efektif dalam proses pengajaran dan pembelajaran demi melahirkan insan yang dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Hubungan elemen merentas kurikulum yang sedia ada dan baharu dalam pembangunan insan yang seimbang digambarkan melalui rajah di bawah.


Rajah 2 : Elemen Merentas Kurikulum

            Sehubungan dengan itu, terdapat banyak peranan atau fungsi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) ini sebagai satu unsur penerapan Elemen Merentas Kurikulum (EMK) dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP). Antaranya ialah ia menjadi unsur yang amat penting di dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran di sekolah (Beauchamp, G., 2012) bukan sahaja untuk mata pelajaran Teknologi Maklumat dan Komunikasi, ia juga merangkumi semua mata pelajaran di sekolah. Ia merujuk kepada usaha pihak pendidikan Malaysia dalam menerapkan unsur TMK di dalam diri mereka. Ini adalah kerana ia merupakan Kemahiran Bernilai Tambah yang perlu ada di dalam diri setiap rakyat Malaysia untuk berdiri sebaris dengan pembelajaran abad ke-21. Secara langsung, ia juga mampu menjadikan murid-murid di sekolah rendah dan pelajar di sekolah menengah dan Institut Pengajian Tinggi sama ada awam atau swasta bernilai tinggi dan diperlukan untuk mengisi kekosongan pekerjaan yang melibatkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

            Selain itu, Teknologi Maklumat dan Komunikasi juga diterapkan sebagai Elemen Merentas Kurikulum kerana ia dapat menjana elemen Keusahawanan dalam diri setiap murid atau pelajar (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2014). Ini adalah kerana kemahiran dan kepakaran dalam ilmu Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) yang tinggi mampu menjana ekonomi individu selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia yang menyatakan hasrat dalam melahirkan rakyat Malaysia yang pakar dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

            Peranannya juga adalah supaya proses Pengajaran dan Pembelajaran sesuatu mata pelajaran adalah menarik, efektif dan bermakna. Ini adalah kerana elemen Teknologi Maklumat dan Komunikasi ini terdiri daripada pelbagai media (multimedia). Contohnya ialah gambar, audio, video, fail dokumen dan sebagainya. Perkara ini bukan sahaja mampu menarik minta murid-murid, ia juga menjadikan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) adalah kondusif kerana pelajar atau murid-murid mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran dengan penuh perhatian.

            Seterusnya, peranan TMK sebagai suatu penerapan dalam Elemen Merentas Kurikulum (EMK) adalah sebagai untuk menggalakkan semua guru dan murid atau pelajar kerap menggunakan elemen Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK). Ini adalah untuk memberikan kemahiran atau kepakaran yang lebih tinggi kepada tenaga pengajar di sekolah (guru) dan pelajar.


            Sebagai kesimpulan, banyak peranan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam penerapan elemennya di dalam Elemen Merentas Kurikulum (EMK). Sehubungan dengan itu, semua guru perlulah menggunakan elemen Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) semasa proses pengajarannya di sekolah. Guru juga perlulah memainkan peranan dalam menggalakkan murid-murid untuk cenderung dalam menggunakan elemen Teknologi Maklumat dan Komunikasi ini. 

Sumber Rujukan :


BUKU

Beauchamp, G (2012). In The Primary School: From Pedagogy to Practice. Harlow: Pearson.

Bird, J. & Caldwell, H. (2014). Lessons in Teaching Computing in Primary Schools. Singapore: Sage.

Jamalludin Harun & Zaidatun Tasir (2003). Multimedia Dalam Pendidikan. Kuala Lumpur: PTS Publication & Distrubator Sdn. Bhd.

Jamalludin Harun & Zaidatun Tasir. (2005). Multimedia Konsep dan Praktis. Kuala Lumpur: PTS Publication & Distrubator Sdn. Bhd.

Kamus Dewan (2010). Kamus Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Kementerian Pendidikan Malaysia (2013). Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi Tahun Empat. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kementerian Pendidian Malaysia (2014). Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi Tahun Lima. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.

Laudon. (1997). Internet dan Technology. New York: Pinky.

Reigelath. (1987). Education System in School. New Jersey: Square Guard Utd.

Stair, & Reynolds. (1999). Technology Education. London: Component Draf.


INTERNET

Amanda Cheong. (2010, April 12). Kepentingan Teknologi terhadap Bidang Pendidikan.
dimuat turun daripada Amanda Cheong 8082:    
http://amandacheong8082.blogspot.my/2010/04/kepentingan-teknologi-
terhadap-bidang-pendidikan.html


Sukri Yusup. (2012, September 12). Kepentingan TMK dalam Pendidikan. Dimuat turun daripada Sukriyusup96:
http://sukriyusup69.blogspot.my/2012/09/kepentingan-tmk-dalam pendidikan.html



Tahiyuatul Qulub (2011, Ogos 16). Integrasi Maklumat dan Komunikasi. Dimuat turun daripada Tahiyyatul Qulub:
http://tahiyyatalqulub.blogspot.my/2011/08/integrasi-teknologi-maklumat-dan-komunikasi.html

maklum balas

Terbaru Lebih lama

BACA JUGA