Objektif Standard Kurikulum Bahasa Melayu Sekolah Rendah ini adalah berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) KSSR Semakan 2017 Bahasa Melayu (SK) Tahun 1 hingga Tahun 5. Untuk Tahun 6, belum disediakan lagi. Insya-Allah perkongsian ini akan dikemas kini sebaik sahaja DSKP BM Tahun 6 (KSSR Semakan) telah dimuat naik oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum, KPM.

Sebagai seorang guru yang mengajarkan Bahasa Melayu sekolah rendah, kita perlu mengetahui objektif yang perlu dicapai mengikut tahun. Objektif ini dapat kita ketahui melalui DSKP yang telah disediakan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia yang mana merupakan dokumen paling penting untuk kita fahami dan gunakan sebagai seorang guru.

Kurikulum Bahasa Melayu Sekolah Rendah digubal untuk membolehkan murid berketerampilan dalam berbahasa dan boleh berkomunikasi untuk memenuhi keperluan diri, memperoleh ilmu pengetahuan, kemahiran, maklumat, nilai dan idea serta hubungan sosial dalam kehidupan harian.

Kurikulum Sekolah Rendah mata pelajaran Bahasa Melayu bertujuan membolehkan murid mencapai objektif berikut:

  1. Memberikan respons berdasarkan arahan, pesanan, dan pertanyaan dengan betul.
  2. Bercerita, berbincang dan mengemukakan pendapat tentang sesuatu perkara daripada pelbagai sumber secara bertatasusila.
  3. Membaca dengan sebutan dan intonasi yang betul, memahami, dan menaakul maklumat tersurat dan tersirat serta membaca pelbagai bahan bacaan bagi memperkaya kosa kata dan maklumat untuk memupuk minat membaca.
  4. Mencatat, menulis, dan mengimlak untuk mengaplikasikan maklumat dengan menggunakan bahasa yang santun.
  5. Menghasilkan pelbagai penulisan, mengedit, dan menulis ulasan.
  6. Menghayati serta menghargai keindahan dan kesantunan bahasa dalam bahan sastera.
  7. Menggunakan sistem bahasa yang betul dalam pertuturan, pembacaan dan penulisan.
  8. Menghargai dan mengamalkan nilai murni, bersikap positif, semangat patriotik, dan kewarganegaraan melalui aktiviti berbahasa.

24 Objektif Standard Kurikulum Bahasa Melayu Tahun 1

Kurikulum Standard Sekolah Rendah mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 1 bertujuan membolehkan murid mencapai objektif berikut:

1. Mengajuk dan menyebut perkataan, frasa dan ayat yang mengandungi pelbagai bunyi vokal, konsonan, diftong, vokal berganding, digraf, dan konsonan bergabung dengan sebutan yang betul;
2. Mendengar, memahami, dan memberikan respons terhadap soalan, suruhan, dan pesanan dengan betul;
3. Bertutur secara bertatasusila dengan sebutan yang betul dan intonasi yang sesuai untuk menyampaikan maklumat dan idea yang kritis dan kreatif;
4. Membaca dengan sebutan yang betul, intonasi yang sesuai, dan memahami perkataan, frasa, dan ayat;
5. Membaca, memahami dan menaakul bahan untuk mendapatkan kosa kata, idea tersurat, dan idea tersirat;
6. Membaca dan mengenal pasti kandungan teks bahan sastera dan bahan bukan sastera;
7. Membaca, memahami, dan mempersembahkan karya sastera;
8. Menulis huruf, suku kata, perkataan, frasa, dan ayat secara mekanis dengan betul dan kemas;
9. Membina dan menulis jawapan pemahaman berdasarkan soalan bertumpu dan bercapah dengan betul;
10. Mencatat maklumat tentang sesuatu perkara;
11. Menulis perkataan, frasa, dan ayat secara imlak;
12. Menghasilkan penulisan naratif dan bukan naratif secara terkawal dengan betul;
13. Mengedit dan memurnikan hasil penulisan daripada aspek ejaan dan tanda baca dengan betul;
14. Bercerita dan menuturkan cerita haiwan, cerita jenaka, dan simpulan bahasa menggunakan bahasa kiasan yang sesuai;
15. Melafazkan pantun nasihat dua kerat dan empat kerat dengan sebutan dan intonasi yang betul;
16. Menyanyikan lagu kanak-kanak dan lagu rakyat dengan irama yang betul;
17. Melagukan syair dengan sebutan dan intonasi yang betul;
18. Mencipta dan mempersembahkan pantun dua kerat, empat kerat dan syair irama selendang delima secara kreatif;
19. Mengenal pasti dan menggunakan kata nama am, kata nama khas, kata ganti nama, penjodoh bilangan, dan kata kerja mengikut konteks dengan betul;
20. Mengenal pasti dan menggunakan kata adjektif, kata tugas, kata tanya, dan kata perintah mengikut konteks dengan betul;
21. Mengenal pasti dan menggunakan kata berimbuhan awalan dan akhiran mengikut konteks dengan betul;
22. Mengenal pasti dan menggunakan kata majmuk rangkai kata bebas mengikut konteks dengan betul;
23. Mengenal pasti dan menggunakan kata ganda penuh mengikut konteks dengan betul; dan
24. Mengenal pasti jenis ayat penyata, ayat tanya dengan kata tanya, ayat perintah dan ayat seruan, serta menggunakan ayat tunggal dan ayat majmuk mengikut konteks dengan betul.


26 Objektif Standard Kurikulum Bahasa Melayu Tahun 2

Kurikulum Standard Sekolah Rendah mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 2 bertujuan membolehkan murid mencapai objektif berikut:

1.Mendengar, memahami, dan memberikan respons dengan membuat tafsiran terhadap soalan bertumpu dan bercapah, suruhan, pesanan dan permintaan; menyebut frasa, ayat tunggal dan ayat majmuk dengan betul dan tepat.
2. Bertutur untuk menjelaskan sesuatu maklumat yang tersurat dan tersirat dengan menggunakan idea yang kritis dan kreatif secara bertatasusila mengikut konteks.
3. Membaca perkataan, ayat, perenggan dan petikan dengan sebutan yang betul dan intonasi yang sesuai.
4. Membaca dan memahami perkataan, ayat, perenggan dan petikan.
5. Membaca, memahami dan mengenal pasti kosa kata, isi tersurat, isi tersirat, idea utama, idea sampingan dan idea keseluruhan.
6. Membaca, mengenal pasti dan menyatakan nilai daripada bahan sastera dan bahan bukan sastera.
7. Membaca dan mempersembahkan karya sastera dan bukan sastera dengan sebutan yang betul dan intonasi yang sesuai.
8. Menulis secara mekanis perkataan, ayat, perenggan dan petikan.
9. Membina dan menulis perkataan, frasa, ayat dan perenggan.
10. Membina dan menulis jawapan pemahaman dengan berdasarkan soalan bertumpu dan bercapah.
11. Menyusun dan mencatat maklumat yang bermakna tentang sesuatu perkara.
12. Menulis perkataan, frasa dan ayat yang diimlakkan.
13. Menghasilkan penulisan naratif dan bukan naratif secara separa terkawal dan berpandu.
14. Mengedit dan memurnikan hasil penulisan daripada aspek ejaan, tanda baca dan penggunaan kata.
15. Bercerita dan menuturkan cerita haiwan, cerita jenaka yang menggunakan simpulan bahasa, bandingan semacam dan perumpamaan yang sesuai.
16. Melafazkan pantun dengan sebutan dan intonasi yang betul dan mengenal pasti ciri-cirinya.
17. Menyanyikan lagu kanak-kanak dan lagu rakyat dengan irama yang betul.
18. Mendeklamasikan sajak dengan sebutan dan intonasi yang betul.
19. Melakonkan dialog pendek dengan gerak laku yang sesuai.
20. Mencipta dan mempersembahkan pantun dua kerat dan empat kerat secara kreatif.
21. Memahami dan menjelaskan fungsi serta menggunakan kata nama am, kata nama khas, kata ganti nama, penjodoh bilangan, dan kata kerja mengikut konteks dengan betul
22. Menggunakan kata adjektif, kata tugas, kata tanya, dan kata perintah mengikut konteks dengan betul.
23. Menggunakan kata berimbuhan awalan dan akhiran mengikut konteks dengan betul.
24. Menggunakan kata majmuk rangkai kata bebas mengikut konteks dengan betul.
25. Mengaplikasi kata ganda penuh mengikut konteks dengan betul.
26.Mengaplikasi jenis dan bentuk ayat mengikut konteks dengan betul.

21 Objektif Standard Kurikulum Bahasa Melayu Tahun 3

KSSR mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 3 bertujuan membolehkan murid mencapai objektif berikut:

1. Mendengar, mengecam dan menyebut ayat tunggal dan ayat majmuk dengan betul dan tepat.
2. Mendengar, memahami, dan memberi respons terhadap ayat perintah.
3. Mendengar, mentafsir dan bertindak balas terhadap soalan bertumpu dan bercapah.
4. Bertutur untuk menjelaskan serta menilai dan membanding beza maklumat yang tersurat menggunakan idea yang kritis dan kreatif secara bertatasusila mengikut konteks.
5. Berinteraksi untuk mendapatkan dan menyampaikan maklumat.
6. Membaca petikan dengan sebutan yang betul dan intonasi yang sesuai serta memahaminya.
7. Membaca, mengenal pasti dan menerangkan, idea daripada bahan bukan sastera dan bahan sastera serta mempersembahkannya.
8. Menulis huruf, perkataan dan frasa secara mekanis dalam bentuk tulisan berangkai dengan kemas dan cantik.
9. Membina, menulis ayat dan jawapan pemahaman secara kritis berdasarkan soalan bertumpu dan bercapah.
10. Mencatat maklumat yang dibanding beza tentang sesuatu perkara.
11. Menulis ayat yang diimlakkan.
12. Merangka dan menulis penulisan naratif dan bukan naratif serta mengedit dan memurnikan hasil penulisan daripada aspek ejaan, tanda baca dan penggunaan imbuhan, penggunaan kata dan struktur ayat.
13. Berceritakan dengan menggunakan simpulan bahasa, bandingan semacam dan perumpamaan yang sesuai serta mengubahsuai cerita yang berunsur pengajaran dan mempersembahkannya secara kreatif.
14. Melafazkan dan menjelaskan maksud pantun serta mencipta pantun secara berpandu dan mempersembahkannya.
15. Menyanyi dan menjelaskan maksud lirik lagu serta mengubahsuai lirik lagu secara berpandu dan mempersembahkannya.
16. Memahami dan mengaplikasi ayat tunggal dan ayat majmuk mengikut konteks.
17. Memahami dan membina ayat seruan, ayat perintah serta ayat tanya mengikut konteks.
18. Memahami dan menggunakan kata dasar, kata berimbuhan, kata majmuk dan kata ganda mengikut konteks.
19. Memahami dan menggunakan kata kerja, kata adjektif, kata tugas mengikut konteks.
20. Memahami dan menggunakan kata nama am, kata nama khas, kata ganti nama serta penjodoh bilangan mengikut konteks dengan betul.
21. Mencipta secara berpandu puisi, melagukan syair dan mendeklamasikan sajak serta memahami maksudnya.

21 Objektif Standard Kurikulum Bahasa Melayu Tahun 4

KSSR mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 bertujuan membolehkan murid mencapai objektif berikut:

1. Mendengar, mengecam sebutan, memahami, dan memberikan respons terhadap ujaran.
2. Mendengar, mentafsir, dan memberikan jawapan secara kritis.
3. Bertutur untuk memberikan alasan tentang sesuatu perkara yang dinilai secara bertatasusila.
4. Bertutur untuk membuat penjelasan tentang maklumat yang dibanding beza menggunakan idea yang kritis dan kreatif.
5. Menyoal dan menjawab soalan untuk mendapatkan penjelasan.
6. Bercerita, dan menceritakan sesuatu perkara dengan sebutan yang betul dan intonasi yang sesuai.
7. Membaca dengan sebutan yang betul dan intonasi yang sesuai.
8. Membaca dan memahami maklumat dalam bahan grafik untuk membuat gambaran.
9. Membaca dan menganalisis kandungan teks karya sastera dan karya bukan sastera.
10. Membaca karya sastera dan karya bukan sastera dengan gaya penyampaian yang sesuai.
11. Menyalin ayat dalam bentuk tulisan berangkai.
12. Menghasilkan ayat dan perenggan, menulis jawapan pemahaman secara kritis dan kreatif serta mencatat maklumat tentang sesuatu perkara yang dianalisis.
13. Menulis ayat dan perenggan yang diimlakkan.
14. Mendraf, dan menghasilkan penulisan imaginatif dan deskriptif serta mengedit dan memurnikan ayat.
15. Menyampaikan cerita yang mengandungi peribahasa.
16. Melafazkan dan menjelaskan maksud sajak.
17. Menyanyikan dan menjelaskan maksud lirik lagu.
18. Mengubah suai dan mempersembahkan puisi, cerita, dan seni kata lagu.
19. Menghasilkan seni khat.
20. Memahami dan menggunakan kata nama, kata kerja, kata adjektif, kata tugas, kata berimbuhan, kata majmuk, dan kata ganda mengikut konteks.
21. Memahami dan membina ayat tunggal, ayat majmuk, ayat penyata, ayat tanya, ayat aktif, ayat susunan biasa, dan ayat susunan songsang.

15 Objektif Standard Kurikulum Bahasa Melayu Tahun 5

KSSR mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 5 bertujuan membolehkan murid mencapai objektif berikut:

1. Mendengar, mengecam sebutan, menyebut, memahami, mentafsir, dan memberikan respons secara kritis dan kreatif.
2. Bertutur untuk menyatakan pertimbangan dan keputusan secara bertatasusila.
3. Menghuraikan maklumat yang tersurat dan tersirat secara kritis dan kreatif.
4. Bersoal jawab untuk menjana idea dan menghasilkan idea baharu.
5. Bercerita dan menceritakan sesuatu perkara dengan sebutan yang betul, intonasi dan gaya yang sesuai.
6. Membaca dan memahami teks serta bahan multimedia untuk membuat pertimbangan dan keputusan.
7. Membaca, meneliti kandungan teks untuk membuat rumusan, dan mempersembahkan karya sastera dan bukan sastera dengan pelbagai bentuk gaya penyampaian.
8. Menulis perenggan dalam bentuk tulisan berangkai.
9. Membina dan menulis pendapat daripada bahan multimedia, menulis alasan secara kritis dan kreatif, mencatat maklumat dan menulis teks yang diimlakkan.
10. Mendraf, mengedit, memurnikan, dan menghasilkan penulisan berformat dan tidak berformat.
11. Bercerita, melagukan syair dan menyatakan idea keseluruhan syair serta mendeklamasikan sajak serta menyatakan maksud sajak.
12. Mengubah suai puisi dan cerita dengan bahasa yang indah dan santun serta mengubah suai seni kata lagu dengan diksi yang sesuai, dan mempersembahkan dengan gaya yang kreatif.
13. Menghasilkan seni penulisan jawi.
14. Memahami dan menggunakan kata nama, kata kerja, kata adjektif, kata tugas, penjodoh bilangan, kata berimbuhan, kata majmuk, dan kata ganda mengikut konteks.
15. Memahami dan membina ayat tunggal, ayat majmuk, ayat seruan, ayat perintah, ayat aktif, ayat pasif, ayat susunan biasa, dan ayat susunan songsang.

Rujukan: 

1. Bahagian Pembangunan Kurikulum. (2016). Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Bahasa Melayu (Sekolah Kebangsaan) Tahun 1. Kementerian Pendidikan Malaysia: Putrajaya.
2. Bahagian Pembangunan Kurikulum. (2017). Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Bahasa Melayu (Sekolah Kebangsaan) Tahun 2. Kementerian Pendidikan Malaysia: Putrajaya.
3. Bahagian Pembangunan Kurikulum. (2018). Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Bahasa Melayu (Sekolah Kebangsaan) Tahun 3. Kementerian Pendidikan Malaysia: Putrajaya.
4. Bahagian Pembangunan Kurikulum. (2019). Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Bahasa Melayu (Sekolah Kebangsaan) Tahun 4. Kementerian Pendidikan Malaysia: Putrajaya.
5. Bahagian Pembangunan Kurikulum. (2020). Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Bahasa Melayu (Sekolah Kebangsaan) Tahun 5. Kementerian Pendidikan Malaysia: Putrajaya.

maklum balas

Terbaru Lebih lama

BACA JUGA