8 Perkara yang Perlu Diketahui oleh Guru Bahasa Melayu Tahun 2020. Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Perkongsian pada kali ini khusus kepada rakan-rakan guru baharu yang telah berkhidmat di sekolah rendah sejak 4 November 2019 yang lalu yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu untuk tahun depan (2020).

Sebagai guru baharu, banyak yang perlu kita ketahui khususnya perubahan-perubahan dalam sistem pendidikan yang terkini, pekeliling-pekeling yang baharu, dipinda, dibatalkan dan sebagainya. Antaranya ialah bagi guru Bahasa Melayu.

Kita sedia maklum, mata pelajaran kita merupakan mata pelajaran teras yang mana merupakan mata pelajaran yang diperuntukkan selama 300 minit dalam seminggu (bagi KSSR) dan 192 jam setahun (bagi KSSR Semakan) dalam PdPc iaitu mata pelajaran yang paling banyak interaksi dengan murid. Sehubungan dengan itu, amat penting untuk kita mengetahui kandungan kurikulum Bahasa Melayu ini yang mana telah dinyatakan seperti berikut:

1. KOD FAIL PANITIA BAHASA MELAYU


Kod fail panitia kita ialah 600-3/2/5 berdasarkan Manual Klasifikasi Fail Sekolah (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2019). Cara menulis kod fail ini ialah XBA3139.600-3/2/5. Tulisan yang berwarna merah mewakili kod sekolah kita dan selepasnya ditandai dengan tanda baca noktah (.) dan bukannya (/) (PPD Tangkak, 2018).

Saya nasihatkan, sentiasalah merujuk kepada Manual Klasifikasi Fail Sekolah yang telah disediakan oleh KPM ini kerana ia merangkumi kod-kod klasifikasi sistem fail di sekolah. Memang lengkap.


2. BILANGAN FAIL PANITIA

Bilangan fail panitia adalah berbeza mengikut keperluan dan kesesuaian di sekolah masing-masing. Jadi, jangan stres kalau nampak kandungan fail setiap sekolah ada yang tebal, ada yang tipis, ada yang banyak dan ada yang sedikit.

Pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) juga dilarang untuk menentukan bilangan fail panitia. Ini adalah berdasarkan Surat Edaran daripada Kementerian Pendidikan Malaysia bertarikh 11 Januari 2019.




3. PENERAPAN PENDIDIKAN SIVIK



Kita sedia maklum, Pendidikan Sivik diterapkan dalam mata pelajaran yang kita ajar, iaitu Bahasa Melayu selain melibatkan empat mata pelajaran yang lain (Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sejarah) yang mana berpandukan empat tema iaitu seperti berikut:

1. Kasih sayang
2. Hormat-menghormati
3. Bertanggungjawab
4. Kegembiraan

Perkara ini wajib kita terapkan dalam PdPc kita sejak Julai 2019 yang lalu iaitu satu jam pada minggu keempat setiap bulan persekolahan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2019).



Jangan risau, KPM sendiri telah menyediakan tema dan topik serta panduan untuk kita menerapkan Pendidikan Sivik ini dalam PdPc kita. Anda boleh dapatkan panduan ini yang dinamakan sebagai Modul Exemplar Pendidikan Sivik ini di SINI. Ia dibahagikan kepada Prasekolah, Sekolah Rendah (Tahap I dan II) serta Sekolah Menengah (Menengah Rendah dan Menengah Atas).



4. PENERAPAN PENDIDIKAN KESELAMATAN JALAN RAYA (PKJR)

Ini adalah berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 10 Tahun 2009 bagi sekolah rendah dan Surat (KP) BPK 700-1/4(11) bertarikh 19 Januari 2015 bagi sekolah menengah yang mana telah menyatakan bahawa penerapan PKJR ini wajib dilaksanakan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia selama dua jam sebulan (sekolah rendah) dan satu jam sebulan (sekolah menengah).



Yang seronoknya, Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan Malaysia telah membangunkan laman web yang sangat menarik dan lengkap untuk kegunaan guru dan murid dalam melaksanakan PKJR ini. Laman web tersebut boleh diakses di SINI.

Maaf, saya tidak boleh berkongsi fail ini kepada anda kerana ia dilindungi oleh Kementerian  Pendidikan Malaysia. Anda perlu memuat turun semua fail ini sendiri di portal tersebut.

Apa yang perlu anda lakukan (guru baharu) ialah dengan mendaftar terlebih dahulu di laman web tersebut. Setelah selesai melakukan pendaftaran, anda boleh memuat turun semua bahan-bahan yang diperlukan untuk pelaksanaan PKJR ini dalam PdPc anda termasuklah Buku Aktiviti Murid (BAM), Buku Panduan Guru, Hasil Pembelajaran dan Video Audio Animasi (VAA).



Oh ya, standard atau sukatan yang digunakan dalam penentuan objektif PKJR ini ialah Hasil Pembelajaran (HP) ya, bukan Standard Kandungan atau Standard Pembelajaran. Jangan tanya kenapa. Hahahahhaha.


Surat pekeliling berkaitan pelaksanaan PKJR ini ialah SPI Bil. 10/2009 dan seperti di bawah:



5. PENJENAMAAN SEMULA MATA PELAJARAN BAHASA MELAYU

Berdasarkan pelaksanaan KSSR (Semakan 2017) secara berperingkat iaitu sejak tahun 2017, mata pelajaran kita dijenamakan semula daripada Bahasa Malaysia kepada Bahasa Melayu dan untuk tahun hadapan (2020), Bahasa Malaysia telah melalui proses penjenamaan semula dari Tahun Satu, Dua, Tiga dan Empat manakala Tahun Lima masih menggunakan nama mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Tahun Enam memang menggunakan nama mata pelajaran Bahasa Melayu sejak pelaksanaan KSSR. Jangan pening-pening ya. Hihi.

6. BUKU TEKS DIGITAL ASAS (BTDA)

BTDA. Pernah dengar akronim ni? Inilah buku teks yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dalam bentuk salinan lembut (softcopy) berformatkan dokumen berbentuk PDF. BTDA ini disediakan dengan kerjasama daripada Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP). Kemudahan ini disediakan untuk memudahkan guru dan murid dalam mengakses kandungan buku teks setiap mata pelajaran yang ditawarkan pada peringkat sekolah rendah dan menengah sekaligus mengurangkan beban membawa buku teks yang agak berat.

Setakat ini, buku teks bagi mata pelajaran kita, Bahasa Melayu hanya disediakan berpandukan versi KSSR Semakan 2017 iaitu Tahun Satu dan Tahun Dua (buku teks versi KSSR tidak disediakan). Salinan lembut bagi buku teks KSSR Semakan 2017 untuk Tahun Tiga dan Empat belum tersedia buat masa ini manakala bagi Tahun Lima dan Enam akan dimuat naik oleh BTP pada tahun berikutnya. (mungkin, ini pendapat saya sendiri la).

7. DOKUMEN STANDARD KURIKULUM DAN PENTAKSIRAN (DSKP)

Dokumen yang disediakan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) Kementerian Pendidikan Malaysia ini merupakan pegangan kita sebagai guru.



DSKP yang digunakan untuk tahun hadapan (2020) ialah seperti berikut:

1. Tahun Satu – DSKP KSSR Semakan 2017 Bahasa Melayu Tahun 1
2. Tahun Dua – DSKP KSSR Semakan 2017 Bahasa Melayu Tahun 2
3. Tahun Tiga – DSKP KSSR Semakan 2017 Bahasa Melayu Tahun 3
4. Tahun Empat – DSKP KSSR Semakan 2017 Bahasa Melayu Tahun 4
5. Tahun Lima – DSKP KSSR Bahasa Malaysia Tahun 5
6. Tahun Enam – DSKP KSSR Bahasa Melayu Tahun 6

8. TEMPLAT PELAPORAN PENTAKSIRAN BILIK DARJAH (PBD)

Tempat yang kita gunakan untuk merekod Tahap Penguasaan murid kita kegunaan tahun hadapan (2020) ialah Templat Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah bagi Tahun Satu, Dua, Tiga dan Empat manakala Templat Pelaporan DSKP Bahasa Melayu Tahun 5 digunakan untuk Tahun Lima dan Tahun Enam pula menggunakan Templat Pelaporan Pentaksiran Sekolah Tahun Enam.


Anda boleh memuat turun templat-templat ini di pautan portal rasmi Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kesimpulannya, saya ingin menekankan bahawa pendidikan yang diterapkan dalam PdPc Bahasa Melayu kita iaitu Pendidikan Sivik dan PKJR ialah wajib dilaksanakan dan memasukkannya dalam RPH kita ya.

Baiklah, sekian, itu sahaja yang dapat saya kongsikan pada kali ini. Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak dapat memberikan input dan informasi terkini kepada semua khususnya rakan-rakan guru Bahasa Melayu. Assalamualaikum dan selamat meneruskan percutian anda.

1 Ulasan

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

BACA JUGA