Fail Wajib yang Perlu Disediakan oleh Guru Baharu. Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. 

Alhamdulillah, perkongsian saya diteruskan lagi. Pada kali ini, saya berkongsi berkaitan fail-fail yang perlu disediakan oleh guru baharu, khususnya untuk kita, graduan IPG PISMP Ambilan Jun 2015 yang telah berkhidmat di sekolah sejak 4 November 2019 yang lalu.

Kita sedia maklum, dokumentasi antara elemen yang sangat penting khususnya kita sebagai penjawat awam yang juga pendidik. Ini kerana dokumentasilah yang bertindak sebagai bukti kita melaksanakan tugas, amanah dan tanggungjawab dengan baik dan berkualiti.

Sebagai guru baharu, kita perlulah menyediakan fail-fail yang penting sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. 

Baiklah, berikut dikongsikan fail yang perlu kita sediakan:

1. Program Pembangunan Guru Baharu (PPGB)

Fail ini yang paling utama dalam kerjaya kita sebagai guru baharu. Ini juga termaktub dalam Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 5 Tahun 2012 bertajuk Panduan Pelaksanaan Program Pembangunan Guru Baharu di Sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (dahulu KPM dikenali sebagai Kementerian Pelajaran Malaysia dan kini dikenali sebagai Kementerian Pendidikan Malaysia)




Program Pembangunan Guru Baharu (PPGB) ialah salah satu daripada program yang menyokong pembangunan profesionalisme berterusan Guru Baharu iaitu guru yang pertama kali memasuki perkhidmatan pendidikan dan ditempatkan di sekolah. Program ini dilaksanakan berasaskan sekolah (work-based programme) melalui bimbingan berstruktur dan meliputi Fasa Orientasi, Fasa Pementoran dan Fasa Pembangunan Profesionalisme. 

Tempoh pelaksanaan PPGB ini adalah antara satu (1) hingga tiga (3) tahun iaitu sebelum kita mendapat status Disahkan dalam Perkhidmatan.

Pastikan anda menggunakan PPGB yang terkini ya, iaitu edisi tahun 2015.

2. myPortfolio

Dahulu ia dikenali sebagai Fail Meja. Ingat ya, Fail Meja tidak lagi digunakan kerana myPortfolio inilah yang menggantikannya. MyPortfolio dibina atas penambahbaikan komponen dalam Fail Meja yang dahulu.



myPortfolio ini boleh disediakan dalam bentuk salinan keras (hardcopy) atau salinan lembut (softcopy) ya, yang penting ia mudah dicapai dan dirujuk.

Sumber: Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bilangan 4 Tahun 2018 bertajuk myPortfolio: Panduan Kerja Sektor Awam.

3. Rekod Persediaan Mengajar

Rekod ini boleh disediakan dalam bentuk fail atau buku. Ini bergantung kepada pihak JPN/PPD atau sekolah. Rekod inilah yang kita akan bawa apabila kita masuk ke kelas melaksanakan PdPc yang mana ia mempunyai DSKP, RPT dan RPH kita. Itu komponen wajib yang perlu ada dalam rekod persediaan mengajar kita, Selebihnya, bergantung kepada kreativiti anda untuk menyediakan dokumentasi yang terbaik.



DSKP kan banyak, jadi alternatif lain supaya Rekod Persediaan Mengajar ini tidak berat/tebal, anda boleh menggunakan Barcode, kan mudah. 

4. Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP)

Mulai tahun depan (2020), kita akan layak menjadi PYD iaitu Pegawai yang Dinilai dalam PBPPP ini yang mana setelah 180 hari (enam bulan) kita berkhidmat, kita akan dinilai oleh Pegawai Penilai (PP) sebanyak dua kali.



Perkara ini amat penting yang mana mempengaruhi urusan kenaikan pangkat kita, kemajuan kerjaya dan sebagainya. Skor (markah) juga akan direkodkan dalam ePrestasi oleh Pegawai Penilai.

Biasanya, penilaian ini dilaksanakan pada bulan April - Jun dan Julai - Ogos.

Sumber: Surat Edaran KPM bertarikh 20 November 2015.

Dalam fail-fail di atas, terdapat frasa Saya yang menurut perintah, rajin-rajinkanlah diri anda untuk menaip semula frasa tersebut dengan frasa yang baharu iaitu Saya yang menjalankan amanah ya dan jangan lupa, logo KPM yang terkin ialah yang menggunakan Jata Negara dan bukannya logo KPM yang lama.

Ingat, isikanlah maklumat yang diperlukan dalam fail-fail di atas terlebih dahulu, barulah cetak. Dokumentasi yang berkualiti melahirkan pendidik yang happy. Ya kah? HHAHAHAHAHHAHA. Harapnya begitulah kan.

Jaga diri, jaga hati dan jagalah amanah ini. Ini kerjaya kita. Buatlah sebaik yang mungkin. Semoga kita, guru baharu ini diberikan kekuatan untuk melaksanakan amanah dan kerjaya ini dengan baik dan cemerlang. Aamiin.

Semoga perkongsian pada kali ini memberikan informasi kepada anda semua. Fail yang tidak disenaraikan pada perkongsian ini bermaksud ia tidak wajib disediakan. Ia bergantung kepada anda untuk menyediakannya mengikut jawatan yang anda sandang dan sebagainya.

Selamat meneruskan percutian anda. Insya-Allah, saya akan berkongsi Perkara yang Perlu Anda Tahu sebagai Guru Baharu selepas ini.

maklum balas

Terbaru Lebih lama

BACA JUGA