24 Penambahbaikan dalam Sistem Pendidikan Malaysia ini saya kongsikan susulan daripada perkongsian saya sebelum ini yang bertajuk 26 Pembaharuan dalam Sistem Pendidikan Malaysia.

Penambahbaikan yang saya maksudkan di sini merujuk kepada perkara atau dasar-dasar pendidikan yang diganti daripada yang lama kepada yang baharu selaras dengan keperluan pendidikan semasa yang dilaksanakan secara menyeluruh dari peringkat pendidikan prasekolah sehinggalah peringkat sekolah menengah atas.

Berdasarkan pembacaan saya, terdapat 24 perkara yang berlaku penambahbaikan. Banyak lagi sebenarnya, tapi, saya fokuskan kepada 24 perkara ni sebab berkait sangat dengan kita, warga pendidik.

Saya nyatakan penambahbaikan ini mengikut kategori seperti berikut:

1. Umum

Dilaksanakan secara menyeluruh dari peringkat prasekolah sehingga sekolah menengah atas.

2. Prasekolah

Dilaksanakan pada peringkat prasekolah.

3. Sekolah Rendah

Dilaksanakan pada semua peringkat sekolah rendah merangkumi Tahap 1 dan 2 iaitu bagi murid Tahun 1 sehingga Tahun 6.

4. Sekolah Rendah Tahap 1

Dilaksanakan pada peringkat sekolah rendah bagi murid Tahun 1, Tahun 2 dan Tahun 3.

5. Sekolah Rendah Tahap 2

Dilaksanakan pada peringkat sekolah rendah bagi murid Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6.

6. Sekolah Menengah

Dilaksanakan pada semua peringkat sekolah menengah merangkumi menengah rendah dan menengah atas iaitu bagi murid Tingkatan 1 sehingga Tingkatan 5.

7. Sekolah Menengah Atas

Dilaksanakan pada peringkat sekolah menengah bagi murid Tingkatan 4 dan 5.

Baiklah, berikut dikongsikan 25 Penambahbaikan dalam Sistem Pendidikan Malaysia yang saya jelaskan secara ringkas. Sekiranya anda ingin mengetahui lebih lanjut berkaitan perkara yang dinyatakan di bawah, sila rujuk pada sumber yang telah dinyatakan pada setiap item.

 Umum👇🏻 


1. Logo Jata Negara Menggantikan Logo Kementerian Pendidikan Malaysia

Tarikh mula berkuat kuasa: 1 Januari 2017

Walaupun perkara ini sudah lama diuar-uarkan, namun, masih terdapat segelintir pihak tidak menggunakan logo kementerian pendidikan yang betul, iaitu masih menggunakan logo KPM yang lama. 

Untuk pengetahuan anda semua, logo KPM sudah ditambah baik iaitu diganti dengan logo Jata Negara. Senang nak faham, rujuk gambar di bawah:

Logo KPM yang Lama
Logo Rasmi KPM Baharu
Sumber: Surat Edaran Kementerian Pendidikan Malaysia - Ketetapan Mengenai Penggunaan Logo Jata Negara bagi Kementerian Pendidikan Malaysia (13 Mac 2017).

2. Frasa "Saya yang Menjalankan Amanah" Menggantikan Frasa "Saya yang Menurut Perintah"

Tarikh mula berkuat kuasa: 20 September 2018

Frasa ini diguna pakai dalam semua urusan penyediaan surat kerajaan (surat rasmi) di bawah kerajaan Malaysia yang mana penggantian frasa ini hanya meminda perenggan 6.4(g), Lampiran A, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2007.

Sumber: Surat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam - Penggantian Frasa "Saya yang Menurut Perintah" dengan Frasa "Saya yang Menjalankan Amanah" dalam Urusan Penyediaan Surat Kerajaan

3. myPortfolio Menggantikan Fail Meja

Tarikh mula berkuat kuasa: Oktober 2018

Perkara ini telah dikeluarkan secara rasmi oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Jabatan Perdana Menteri yang mana secara lansung memansuhkan Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bilangan 8 Tahun 1991 - Panduan Mengenai Manual Prosedur Kerja dan Fail Meja.

Ini bermaksud, penggunaan Fail Meja digantikan dengan myPortfolio yang mana ia memperkenalkan satu elemen baharu, memansuhkan tiga (3) komponen dan menambah baik tujuh (7) aspek yang terdapat pada Fail Meja.

Komponen myPortfolio


Sumber: Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bil. 4 Tahun 2018 - myPortfolio: Panduan Kerja Sektor Awam

4. Google Classroom Menggantikan Frog-VLE

Tarikh mula berkuat kuasa: 1 Julai 2019


Ini berikutan dengan kontrak perkhidmatan 1BestariNet yang telah tamat pada 30 Jun 2019. Sehubungan dengan itu juga, bermula 1 Julai 2019, sekolah dan Pusat Kegiatan Guru (PKG) di seluruh negara akan menerima perkhidmatan Internet daripada Telekom Malaysia, Celcom dan Maxis sehingga 31 Disember 2019 tahun ini iaitu bagi tempoh enam bulan. Sementara itu, KPM akan memilih penyedia perkhidmatan Internet baharu bagi tempoh mulai 1 Januari tahun hadapan.

Sumber: Kenyataan Media Kementerian Pendidikan Malaysia (27 Jun 2017) - Perkhidmatan Talian Internet di Sekolah

5. eKehadiran Menggantikan Buku Jadual Kedatangan Murid

Tarikh mula berkuat kuasa: 1 Januari 2019

Tahukah anda bahawa Buku Jadual Kedatangan Murid tidak lagi digunakan di semua sekolah berkuat kuasa mulai 14 Januari tahun ini (2019).

Kini, urusan perekodan kehadiran murid ke sekolah direkodkan secara atas talian menerusi portal rasmi eKehadiran.



Tapi, kepada sekolah yang tidak ada capaian Internet boleh menggunakan Jadual Kedatangan Murid ini dengan syarat perlu memohon kelulusan daripada PPD atau Pengarah Pendidikan Negeri (bagi sekolah yang tiada PPD).

Jika sekolah alami gangguan capaian Internet, kehadiran murid ni akan dicatat menggunakan Borang Kehadiran Sementara. Rujuk gambar di bawah:


Sumber: Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia Bil. 1 Tahun 2019 - Panduan Pengurusan Rekod Sistem Kehadiran Murid di Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia

 Prasekolah👇🏻 


6. Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) Semakan 2017 Menggantikan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) 

 Sekolah Rendah👇🏻 

7. KSSR (Semakan 2017) Menggantikan KSSR

Tarikh Mula Pelaksanaan: 1 Januari 2017

Kurikulum sekolah rendah yang dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun 2017 iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Semakan 2017 hasil daripada penambahbaikan daripada kurikulum yang lama, iaitu KSSR.

Tahun 1 ➡️ 2017
Tahun 2 ➡️ 2018
Tahun 3 ➡️ 2019
Tahun 4 ➡️ 2020
Tahun 5 ➡️ 2021
Tahun 6 ➡️ 2022

Senang nak faham, hanya murid yang lahir pada tahun 2010 akan terlibat dalam pelaksanaan kurikulum ini dan sebaliknya, murid sekolah rendah yang lahir sebelum tahun tersebut mengikuti kurikulum KSSR yang lama dan langsung tidak terlibat dengan KSSR (Semakan 2017) ini.

 Sekolah Rendah (Tahap 1)👇🏻 


8. Pentaksiran Alternatif (Pentaksiran Bilik Darjah) Menggantikan Peperiksaan Tahap 1

Tarikh mula berkuat kuasa: 1 Januari 2019

Seperti yang kita sedia maklum, mulai tahun ini (2019), tiada lagi peperiksaan bagi murid Tahap Satu, iaitu mereka yang berada di Tahun 1, Tahun 2 dan Tahun 3. yang mana kini bertumpu kepada perkembangan pembelajaran murid dan tidak lagi memberi penekanan kepada peperiksaan.



Sehubungan dengan itu, Pentaksiran Alternatif.dilaksanakan secara berterusan bagi mentaksir pencapaian dan perkembangan murid Tahap 1 ini. 

Pentaksiran alternatif ini adalah sebahagian daripada proses pembelajaran dan seiring dengan pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) iaitu salah satu daripada komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang lebih fokus kepada perkembangan dan kemenjadian murid secara holistik.

Pentaksiran alternatif ini juga merujuk kepada pelbagai aktiviti selain peperiksaan untuk menilai penguasaan dan mengesan perkembangan pembelajaran murid. Contohnya murid ditaksir melalui aktiviti kuiz, permainan dan sebagainya.

Sumber: Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bil. 14 Tahun 2018 - Pemansuhan Amalan Peperiksaan Pertengahan Tahun dan Peperiksaan Akhir Tahun Murid Tahap 1 di Sekolah Rendah KPM

9. Bahasa Melayu Menggantikan Bahasa Malaysia

Tarikh Mula Pelaksanaan: 1 Januari 2017

Ini adalah berdasarkan KSSR (Semakan 2017) yang mana menyatakan bahawa nama mata pelajaran Bahasa Malaysia dalam KSSR dijenamakan semula kepada Bahasa Melayu pada peringkat sekolah rendah Tahun 1, 2, 3, 4 dan 5.

10. Sains Menggantikan Dunia Sains dan Teknologi

Tarikh Mula Pelaksanaan: 1 Januari 2017


11. Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK) Menggantikan Pendidikan Jasmani (PJ), Pendidikan Kesihatan (PK)

Tarikh Mula Pelaksanaan: 1 Januari 2017

Seperti mata pelajaran Dunia Muzik dan Dunia Seni Visual dalam KSSR, Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan juga kini digabungkan menjadi satu mata pelajaran sahaja yang dinamakan sebagai Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK).

 Sekolah Rendah (Tahap 2)👇🏻 


12. Bahasa Melayu Menggantikan Bahasa Malaysia

Tarikh Mula Pelaksanaan: 1 Januari 2020

Ini adalah berdasarkan KSSR (Semakan 2017) yang mana menyatakan bahawa nama mata pelajaran Bahasa Malaysia dalam KSSR dijenamakan semula kepada Bahasa Melayu pada peringkat sekolah rendah Tahap 2. 

Mata pelajaran Bahasa Melayu ini akan digunakan mulai tahun depan (2020) bagi murid Tahun 4.

13. Pendidikan Kesenian Menggantikan Pendidikan Muzik, Pendidikan Seni Visual

Tarikh Mula Pelaksanaan: 1 Januari 2020

Pada peringkat sekolah rendah murid Tahap 2 juga berlaku penggabungan dua mata pelajaran yang berbeza iaitu Pendidikan Kesenian, hasil daripada gabungan mata pelajaran KSSR yang lama iaitu Pendidikan Muzik (PM) dan Pendidikan Seni Visual (PSV).

Mata pelajaran ini juga akan digunakan mulai tahun depan (2020) bagi murid Tahun 4.

14. Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK) Menggantikan Pendidikan Jasmani (PJ), Pendidikan Kesihatan (PK)

Tarikh Mula Pelaksanaan: 1 Januari 2020

Penggabungan mata pelajaran yang terakhir dalam KSSR (Semakan 2017) iaitu Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan yang digabungkan menjadi satu mata pelajaran yang dinamakan sebagai Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK).

Mata pelajaran ini juga akan digunakan mulai tahun depan (2020) bagi murid Tahun 4

 Sekolah Menengah👇🏻 


15. KSSM Menggantikan KBSM

Tarikh Mula Pelaksanaan: 1 Januari 2017

Kurikulum sekolah menengah yang juga dilaksanakan secara berperingkat seperti KSSR (Semakan 2017) mulai tahun 2017 iaitu Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah.

Pelaksanaannya secara berperingkat seperti berikut:

Tingkatan 1 ➡️ 2017
Tingkatan 2 ➡️ 2018
Tingkatan 3 ➡️ 2019
Tingkatan 4 ➡️ 2020
Tingkatan 5 ➡️ 2021

Ringkasnya, hanya murid yang lahir pada tahun 2004 akan terlibat dalam pelaksanaan kurikulum ini dan sebaliknya, murid sekolah menengah yang lahir sebelum tahun tersebut mengikuti kurikulum KBSM.

 Sekolah Menengah (Menengah Atas)👇🏻 


16. Mata Pelajaran Elektif Ikhtisas Menggantikan Mata Pelajaran Elektif

Tarikh Mula Pelaksanaan: 1 Januari 2017

MPEI iaitu Mata Pelajaran Elektif Ikhtisas ini menggantikan Mata Pelajaran Elektif dalam KBSM iaitu terdapat 10 mata pelajaran yang mana 3 nama mata pelajaran daripadanya dikekalkan iaitu Prinsip Perakaunan, Sains Sukan dan Reka Cipta manakala 7 mata pelajaran lagi dijenamakan semula iaitu seperti berikut:
  1. Ekonomi Rumah Tangga kepada Sains Rumah Tangga
  2. Ekonomi Asas kepada Ekonomi
  3. Perdagangan kepada Perniagaan
  4. Teknologi Kejuruteraan kepada Asas Kelestarian
  5. Sains Pertanian kepada Pertanian
  6. Teknologi Maklumat dan Komunikasi kepada Sains Komputer
  7. Lukisan Kejuruteraan kepada Grafik Komunikasi Teknikal

Pelaksanaan MPEI ini adalah lebih awal daripada pelaksanaan Mata Pelajaran Teras dan Mata Pelajaran Wajib dalam KSSM iaitu telah dilaksanakan sejak 2017 lagi manakala Mata Pelajaran Teras dan Mata Pelajaran Wajib dalam KSSM dilaksanakan pada peringkat sekolah menengah atas mulai tahun depan (2020), iaitu bagi murid Tingkatan 4.

MPEI ini adalah menggunakan DSKP manakala bagi mata pelajaran lain (Wajib dan Teras) masih menggunakan Sukatan Pelajaran dan Huraian Sekolah Pelajaran dan akan berakhir pada tahun ini.

Sumber: Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 9 Tahun 2016

17. DSKP Menggantikan Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran

Penggunaan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) bagi Mata Pelajaran Teras dan Mata Pelajaran Wajib pada peringkat sekolah menengah atas (selain MPEI) adalah bermula pada tahun depan, 2020 yang menggantikan penggunakan dokumen KBSM yang lama iaitu Sukatan Pelajaran (SP) dan Huraian Sukaran Pelajaran (HSP) bagi murid sekolah menengah Tingkatan 4.

Seterusnya, perkara bermula nombor 19 sehingga 25 merupakan Mata Pelajaran Elektif Ikhtisas yang menggantikan Mata Pelajaran Elektif (KBSM)

18. Sains Rumah Tangga Menggantikan Ekonomi Rumah Tangga


19. Ekonomi Menggantikan Ekonomi Asas

20. Perniagaan Menggantikan Perdagangan

21. Pertanian Menggantikan Sains Pertanian

22. Asas Kelestarian Menggantikan Teknologi Kejuruteraan

23. Sains Komputer Menggantikan Teknologi Maklumat dan Komunikasi

24. Grafik Komunikasi Teknikal Menggantikan Lukisan Kejuruteraan


Sekian. Itu sahaja yang dapat saya kongsikan untuk perkongsian pada kali ini iaitu 24 Penambahbaikan dalam Sistem Pendidikan Malaysia. Insya-Allah, selepas ini, saya akan berkongsi pula berkaitan perkara yang dimansuhkan dari sistem pendidikan Malaysia. Semoga perkongsian ini memberikan anda maklumat terkini berkaitan dunia pendidikan.

Sekiranya terdapat maklumat yang anda ingin tambah, mohon berikan maklum balas kepada saya melalui ruangan komen di bawah. Terima kasih.




maklum balas

Terbaru Lebih lama

BACA JUGA