10 Perkara Penting dalam Pentaksiran Tahap 1 Menggantikan Peperiksaan Mulai 2019 ini adalah berdasarkan sesi soal jawab antara Datuk Dr. Amin Senin, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dengan pihak media dalam Taklimat Media: Pelaksanaan Pentaksiran Tahap 1.

Kita sedia maklum bahawa tiada lagi peperiksaan mulai tahun ini (2019) bagi murid Tahun 1, 2 dan 3 di sekolah rendah yang mana ia telah digantikan dengan Pentaksiran Tahap 1. Namun, adakah kita faham akan pelaksanaannya di sekolah?  Kurang faham? Insya-Allah selepas baca ni, fahamlah (hihihihi).

Baiklah, berikut dikongsikan 10 perkara penting tersebut:

1. Tiada Peperiksaan Pertengahan Tahun (PPT) dan Peperiksaan Akhir Tahun (PAT).

  • Tiada peperiksaan bermaksud tiada peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun. 
  • Guru akan memberi lebih tumpuan untuk mengajar. 
  • Membina kemahiran karektor dan sahsiah murid. 
  • Murid bebas daripada tekanan belajar untuk periksa. 
  • Wujud budaya belajar yang seronok dan bermakna.

2. Murid ditaksir secara berterusan yang merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai.


  • Peperiksaan adalah salah satu bentuk penilaian atau pentaksiran. Sementara, pentaksiran ada dalam pelbagai bentuk.
  • Pentaksiran dilakukan secara berterusan dan ia sebahagian daripada pengajaran dan pembelajaran.
  • Aspek penilaian merangkumi pengetahuan, kemahiran dan nilai.
  • Ibu bapa boleh mengetahui kekuatan dan kelemahan anak- anak dan menentukan bentuk sokongan yang perlu diberikan.

3. Kaedah pembelajaran secara didik hibur (fun-learning) dan berpusatkan murid (student-centered) - PAK-21.

  • Pentaksiran Bilik Darjah atau lebih dikenali sebagai PBD telah diperkenalkan sejak tahun 2011 di sekolah rendah.
  • Mulai tahun 2019, PBD akan diperkukuhkan kepada murid tahap satu yang berfokuskan kepada pembelajaran murid. 
  • Kemahiran asas murid Tahap Satu yang perlu dibina dan diperkukuh adalah sebelum mereka melalui proses pembelajaran seterusnya (Tahap Dua).

4. Fokus kepada 4M dan amalan nilai murni.

  • Penumpuan kepada kemahiran 4M (membaca, menulis, mengira dan menaakul) dan amalan nilai rutin berbentuk harian.
  • Galakkan murid mengamalkan nilai murni dalam kehidupan seperti berterima kasih, bertolak ansur termasuklah nilai kasih sayang.
  • Setiap murid mempunyai peluang belajar mengikut keupayaan mereka.
  • Pengukuhan PBD dijalankan menerusi aktiviti-aktiviti berupa kuiz, permainan, main peranan, bercerita dan projek mudah.


5. JPN dan PPD memberikan sokongan kepada pihak sekolah yang mempunyai bilangan murid melebihi 40 orang dalam satu kelas.


  • Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meminta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk memberikan sokongan kepada sekolah-sekolah yang mempunyai kelas dan bilangan murid melebihi 40 orang.


6. Tiada pengasingan kelas.

  • Tiada lagi keperluan pengasingan kelas untuk tahap satu. Walau bagaimanapun, pengasingan kelas boleh dilaksanakan jika ia bersifat sementara yang mempunyai tujuan khusus untuk proses pemulihan murid.
  • Pengasingan murid ciri kekal dan berterusan tidak sesuai dengan prinsip pendidikan holistik.


7. Sekolah diberikan autoriti menentukan bentuk saringan dalam mengenal pasti murid yang tidak dapat menguasai 3M.


  • Ini berikutan pemansuhan LINUS juga dimansuhkan mulai tahun ini (2019).
  • Pihak sekolah yang menentukan bentuk saringan yang bersesuaian berdasarkan keperluan.
  • Sekolah diberi autonomi untuk melaksanakan PdP bagi murid-murid yang mempunyai kesukaran untuk menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira.
  • Autonomi ini juga diberi kepada sekolah untuk laksana PBD (professional autonomy) dengan bimbingan JPN dan PPD.


8. Pencapaian murid dilaporkan dalam bentuk Tahap Penguasaan.


  • Perkembangan pembelajaran dilapor dalam bentuk tahap penguasaan.
  • Tahap Penguasaan ini adalah berdasarkan Standard Prestasi mengikut DSKP mata pelajaran masing-masing.
  • Merangkumi kekuatan dan kelemahan murid-murid.
  • Perjumpaan bersama-sama ibu bapa sekurang-kurangnya dua kali setahun.
  • Guru akan membuat ulasan tambahan tentang perkembangan potensi, kemahiran dan sahsiah murid.


9. Integriti guru.


  • Guru telah dilatih untuk menjadi guru yang beretika dan profesional.
  • Pertimbangan profesional merupakan satu bentuk keputusan berkaitan pembelajaran murid yang dibuat oleh guru secara beretika.
  • Jadi diharapkan guru dapat mentaksir murid-murid Tahap 1 ini melalui pernyataan Tahap Penguasaan dan pelaporan pentaksiran yang lain dengan amanah dan penuh integriti.


10. Guru yang banyak masa pertemuan dengan murid dilantik menjadi Guru Kelas.


  • Ini adalah berikutan pelaporan perkembangan murid adalah disediakan oleh Guru Kelas.
  • Contohnya mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik.
  • Mereka lebih mengenali dan mengetahui kelebihan dan kelemahan murid-murid tersebut.

Kesimpulan

Pembelajaran Tahap I ni adalah tertumpu kepada murid, rasa seronok untuk belajar, pelajaran bermakna, membina kemahiran-kemahiran seperti kemahiran komunikasi, kemahiran berfikir kreatif dan kritis, karakter dan sahsiah murid serta ada penerapan nilai kasih sayang dalam diri.



Penumpuan Pembelajaran Tahap I ini adalah kepada kemahiran membaca, menulis, mengira dan menaakul ( serta mengamalkan nilai rutin berbentuk harian seperti berterima kasih, bertolak ansur dan tidak mengambil barang rakan dan banyak lagi.



Pentaksiran ini akan berlaku sebagai sebahagian dari pengajaran (oleh guru) dan pembelajaran (oleh murid) dan secara berterusan melalui Pentaksiran Bilik Darjah.

Pentaksiran berlaku menerusi 5 aktiviti kuiz, permainan, main peranan, bercerita dan projek mudah.



Sekolah diberi kuasa untuk membantu murid-murid yang mempunyai kesukaran menguasai kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

Pentaksiran akan dilaksanakan dengan telus dan beretika. Guru akan menggunakan pertimbangan profesional mereka.



Melalui pentaksiran ini, ibu bapa boleh mengetahui kekuatan dan kelemahan anak-anak dan perlu menyokong anak mereka mencapai potensi pembelajaran.



Pentaksiran bilik darjah ini akan dilaporkan kepada ibu bapa oleh pihak sekolah sekurang-kurangnya dua kali setahun. Jadi ibu bapa akan lebih memahami tentang kemajuan anak mereka.



Marilah kita semua menyokong usaha murni KPM untuk memberikan pengalaman belajar yang menggembirakan dengan penuh kasih sayang dan saling menghormati bagi memenuhi harapan dan aspirasi anak-anak Malaysia

Semoga perkongsian ini memberikan kefahaman kepada kita semua berkaitan Pelaksanaan Pentaksiran Tahap 1 Menggantikan Peperiksaan mulai tahun ini.

JOM SERTAI SAYA DI CHANNEL TELEGRAM CIKGU SUHAIMIN DENGAN CLICK PADA BUTTON DI BAWAH 👇🏻



Sumber:  Taklimat Media: Pelaksanaan Pentaksiran Tahap 1
Tarikh : 19 Disember 2018 ( Rabu )
Masa : 2.00 petang
Tempat : Bilik Mesyuarat Utama, Aras 6, Blok E8, Kementerian Pendidikan Malaysia

maklum balas

Terbaru Lebih lama

BACA JUGA