Tips Menduduki Temu Duga SPP Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG41 ini adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri setelah menduduki temu duga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) baru-baru ini bagi jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41 pada 04 Julai 2019 yang bertempat di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Negeri Sabah, Kota Kinabalu.

Saya baru kongsikan ni sebab keputusan temu duga SPP ni dah diumumkan pada 05 September 2019 baru-baru ni dan alhamdulillah, saya lulus bersama 63 rakan graduan IPG Kampus Tawau yang lain. Jadi yakin sikit nak kongsi. Hahahaha.


Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Negeri Sabah


Tips yang saya kongsikan ini dibahagikan kepada tiga fasa iaitu sebelum, semasa dan selepas menduduki temu duga SPP. 


Fasa Sebelum Menduduki Temu Duga

Fasa ni merupakan fasa yang mana saya telah menerima Surat Panggilan Temu Duga daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) melalui hebahan dari portal rasminya di SINI




Surat Panggilan Temu Duga SPP adalah seperti gambar di bawah:




Berserta surat di atas, juga dilampirkan Senarai Semak Dokumen yang perlu disediakan untuk menduduki temu duga nanti. Berikut merupakan senarai semak tersebut:


Berdasarkan senarai semak di atas, saya hanya menyediakan bagi:
  1. Kad Pengenalan
  2. Sijil Kelahiran
  3. Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
  4. Pengiktirafan Kelayakan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)
  5. Buku Rancangan Pengajaran Harian (RPH)
Saya tidak dapat menyediakan Ijazah Sarjana Muda kerana panggilan temu duga SPP ini adalah lebih awal daripada sangkaan kami (graduan IPG) yang mana panggilan temu duga SPP bagi tahun ini adalah lebih awal iaitu sebelum kami bergraduat (konvokesyen). Oleh itu, saya hanya menyediakan Slip Keputusan Peperiksaan sepanjang pengajian saya (Sem 1 - Sem 8) dan Surat Tamat Pengajian.

Gambar di bawah merupakan fail yang telah saya sediakan iaitu terdiri daripada tiga dokumen:
  1. Fail Dokumen dan Sijil (Asal) 
  2. Sampul Salinan Dokumen
  3. Buku Rekod Praktikum



Ingat, sediakan semua dokumen yang diperlukan dan yang penting, sediakan dalam bentuk ASAL dan SALINAN. Bagi dokumen yang memerlukan salinan, pastikan telah disahkan benar oleh pegawai dari mana-mana Anggota Kumpulan Pengurusan dan Profesional. Kalau saya, saya meminta pengesahan salinan dokumen daripada pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lahad Datu.

Sekiranya anda ingin mengetahui susunan dokumen dalam fail anda, anda boleh memuat turun di >>>SINI<<< dan juga boleh merujuk pada gambar di bawah. Bolehlah dijadikan sebagai panduan kan. Yang saya kongsikan ni hanyalah divider file sahaja.





























Selepas itu, pastikan anda telah mengetahui dan memahami dasar-dasar dan isu-isu pendidikan yang terkini (rujuk di SINI) dan yang paling penting, kuasai ilmu berkaitan bidang pengkhususan anda. 

Fasa Semasa Menduduki Temu Duga


Sudah selesai semua dokumen yang diperlukan, sekarang beralih kepada fasa seterusnya iaitu fasa SEMASA menduduki temu duga. Lokasi temu duga saya ialah di Bilik 3, Aras 2 Blok A, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Negeri Sabah, Kota Kinabalu.

Pukul 06:30 pagi, saya sudah berkumpul di situ. Ya la, kena awal, supaya tak kelam kabut dan boleh membuat persediaan dari aspek mental dan fizikal gituuu. Hihihi.  

Semasa berada di Aras 2 tersebut, terdapat urus setia yang terdiri daripada Pegawai SPP yang bertugas untuk membuat pengesahan kehadiran anda dan memastikan anda menyediakan dokumen dan salinan dokumen mengikut senarai semak yang telah ditetapkan. Kemudian, serahkan Salinan Dokumen kepada urus setia. Bagi Fail dan Buku Rekod Pengajaran pula, kita yang akan membawanya masuk ke dalam bilik temu duga.

Selepas itu, sabar untuk dipanggil masuk ke dalam bilik temu duga. Nervous jugak la, hahaha, dengar rakan-rakan bincang segala pasal dasar dan isu-isu pendidikan dan sebagainya. Persediaan terakhir la katakan.

Biasanya, urus setia akan memanggil empat sehingga lima orang untuk ditemu duga tetapi semasa saya menduduki temu duga, saya bersama tujuh orang yang lain dalam satu sesi temu duga. 

Saya bersama tujuh rakan yang lain telah ditemu duga oleh dua orang panel iaitu Tan Sri sebagai panel dari pihak SPP dan Guru Cemerlang Bahasa Melayu. Temu duga ni disediakan dalam tiga sesi iaitu seperti berikut:
  1. Sesi Perkenalan
  2. Sesi Perbincangan berkaitan Dasar-dasar dan Isu-isu Pendidikan
  3. Sesi Perbincangan berkaitan Bidang Pengkhususan anda dan lain-lain.
Semasa masuk ke dalam bilik temu duga tersebut, saya dan rakan-rakan yang lain memberikan Fail dan Buku Rekod Pengajaran kepada pihak panel penemu duga. Kemudian, mengambil tempat duduk.

Pastikan pakaian tu memang menunjukkan bahawa ANDA ADALAH SEORANG GURU, kemas, pakai name tag, lebih baik kalau pakai blazer bagi lelaki dan wanita kalau mau pakai blazer tu, pastikan anda tidak memakainya bersama baju kurung/kebaya ya.

Pasal adab pula, ingat, SENYUM, muka muka masam semacam jak ya, muka tu jangan nampak 'tegang', tau la nervous temu duga ni, but pandai-pandai kawal.

1. Sesi Perkenalan

Dalam sesi ini, panel akan memperkenalkan diri mereka terlebih dahulu. Kemudian, barulah kita memperkenalkan diri. Semasa memperkenalkan diri tu, panel penemu duga kami meminta kami untuk memperkenalkan diri berdasarkan perkara berikut:
  1. Nama
  2. Asal
  3. Latar belakang keluarga (anak ke berapa dan sebagainya)
  4. Info ringkas berkaitan keistimewaan anda (RINGKAS ya, hihi).

2. Sesi Perbincangan berkaitan Dasar-dasar dan Isu-isu Pendidikan di Malaysia

Pada sesi ini, panel penemu duga akan mengajukan soalan kepada anda. Panel penemu duga yang akan mengajukan soalan ini adalah panel dari pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

Terdapat dua bentuk soalan iaitu soalan terbuka dan tertutup. Soalan terbuka ini adalah soalan yang bebas untuk dijawab oleh sesiapa dalam kalangan anda manakala soalan tertutup ini adalah soalan yang berfokuskan kepada diri anda sendiri, maknanya anda yang kena menjawab soalan tersebut.

Antara soalan yang diajukan semasa berlangsungnya sesi ini adalah seperti berikut:
  1. Sebab ingin menjadi seorang pendidik.Jawablah dengan seikhlas hati nurani anda. Hihi.
  2. Dasar-dasar pendidikan. Misalnya berkaitan Sistem Pendidikan Kebangsaan, Institusi Pendidikan, Bahasa Pengantar, Kurikulum Kebangsaan bagi Kegunaan Semua Sekolah, Perpaduan Nasional Menerusi Pendidikan, Penilaian dan Pentaksiran, Sekolah Program, Program Kurikulum dan Kokurikulum, Program Pendidikan, Bantuan Pendidikan dan  Institusi Pendidikan/Institusi Lain.

    Semasa saya menjalani temu duga ni, soalan yang diajukan adalah berkaitan Pembelajaran Abad ke-21, sekolah pedalaman, Dual Language Programme (DLP), Naratif Baharu Amalan Pendidikan dan STEM. Kalau nak tahu berkaitan dasar-dasar ini, bolehlah baca buku Dasar Pendidikan Kebangsaan Edisi Keempat (2017) yang telah disediakan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia. InshaAllah dapat membantu anda.
  3. Isu-isu semasa berkaitan pendidikan. 

3. Sesi Perbincangan berkaitan Bidang Pengkhususan

Semasa sesi ini, panel yang pakar dari bidang anda yang akan mengajukan soalan. Semasa saya menduduki temu duga ini, panel penemu duga saya merupakan Guru Cemerlang Bahasa Melayu. 

Pertama sekali, panel akan membawa untuk perbincangan berkaitan masalah pengajaran (mengikut bidang anda). Misalnya saya bersama rakan-rakan saya ditanya berkaitan masalah dalam pengajaran mata pelajaran Bahasa Melayu, adakah pernah menghasilkan inovasi bagi mengatasi masalah tersebut dan sebagainya.


Pada masa ini juga, panel akan menyemak Buku Rekod Pengajaran kita, tengok cara kita rancang dan hasillkan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) dan bertanya berdasarkan RPH yang telah anda tulis (panel akan memilih satu RPH yang telah anda hasilkan dan mengajukan soalan kepada anda misalnya, apakah aktiviti PAK-21 yang telah anda laksanakan, adakah ia berjaya dilaksanakan dan memberi impak positif kepada murid dan sebagainya)

Saya ditanya berkaitan salah satu strategi Pengajaran dan Pembelajaran iaitu penggabungjalinan seperti Bagaimana cara mengaplikasikan strategi penggabungjalinan pengajaran Bahasa Melayu dengan mata pelajaran yang lain dalam PdPc?

Kemudian, soalan berbentuk soalan terbuka iaitu apakah inovasi yang saya boleh bangunkan/hasilkan bagi pengajaran Bahasa Melayu sekiranya ditempatkan di sekolah pedalaman yang tiada kemudahan komputer, Internet dan sebagainya. 

Tempoh kami menduduki temu duga tersebut lebih kurang dua (2) jam (kamu akan rasa sekejap jak tu, percayalah sebab kamu fokus menjawab temu duga tu, hihihi) dan alhamdulillah, saya bersama rakan-rakan yang lain dapat menjawab semua soalan yang diajukan kepada kami dengan baik dan tenang,

Ingat, yang paling penting bila menjawab ialah anda dalam keadaan yang YAKIN dan TENANG. Berkerjasama dengan rakan-rakan lain juga dalam perbincangan sesuatu isu.

Jika memberikan sebarang pendapat sama ada menerima atau menolak sesuatu pernyataan, katakan dengan baik dan berhikmah berserta justifikasinya.

Sekiranya ingin menjawab soalan terbuka tu, mohon keizinan terlebih dahulu untuk menjawab pertanyaan tersebut.

Juga bagi ruang dan peluang kepada rakan-rakan lain untuk memberikan pendapat, jangan "overshadow" ya, kita kan bakal guru, bersama-sama untuk menjayakan sesuatu. Hihi.

Apabila menjawab tu, JAWAB SOALAN ITU, bukannya memutarbelitkannya, terus jawab berserta justifikasi berdasarkan pemahaman anda.


Fasa Selepas Menduduki Temu Duga

Ini merupakan fasa yang mana kita berdoa dan bertawakal.Ya la, kita kan dah berusaha dan berikhtiar. Mohon kepadaNya semoga kita dipermudahkan segala urusan dan lulus temu duga dalam menanti keputusan temu duga dihebahkan di portal rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

Alhamdulillah, keputusan temu duga telah diumumkan pada 05 September 2019 yang lalu yang mana lebih kurang dua bulan selepas saya menduduki temu duga dan alhamdulillah, lulus bersama rakan-rakan yang lain. Semakan keputusan tersebut boleh dibuat di portal rasmi SPP ya.

Berikut merupakan gambar Semakan Keputusan Temu Duga SPP:


Setelah anda membuat semakan dan diumumkan lulus temu duga, anda akan diminta untuk memuat turun dokumen yang berkaitan untuk urusan pelantikan sebagai PPP DG41. Berikut merupakan Surat Tawaran Lantikan Tetap Jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41. Pada surat ini juga, dilampirkan dokumen lain yang perlu anda isi dan lengkapkan untuk urusan pelantikan. 




Baiklah. Sekian, itu sahaja yang saya dapat kongsikan, Selepas ini, saya akan kongsikan pula Panduan Menyediakan Segala Dokumen yang Diperlukan untuk Urusan Pelantikan Jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41. Stay tuned! Hantaran (post) ini adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri. Sekiranya terdapat sebarang perbezaan atau percanggahan, bolehlah maklumkan kepada saya. Insha-Allah, saya tambah dalam perkongsian ini. Semoga sedikit sebanyak dapat membantu anda dan memberikan panduan dan rujukan dalam urusan nak jadi guru ni. Hihi.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Selamat Sejahtera.
Kongsi itu Mesti, Berkat itu Pasti.


JOM SERTAI SAYA DI CHANNEL SISTEM GURU ONLINE DENGAN MENEKAN  >>>INI<<<

17 Ulasan

  1. Terima kasih banyak-banyak cikgu?. Semoga Allah memudahkan urusan cikgu dan rakan-rakan. Aamiin.

    BalasPadam
  2. terima kasih atas perkongsiannya cikgu suhaimin.

    BalasPadam
  3. sesi iv diadakan dalam bahasa melayu ke cikgu?.

    BalasPadam
    Balasan
    1. bergantung pada bidang pengkhususan anda, kalau TESL, dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab juga dalam bahasa Arab dan begitulah bahasa Melayu, temu duga dijalankan dalam bahasa Melayu. Harap membantu.

      Padam
  4. Assalam cikgu. Bagaimana sijil pengiktirafan kelayakan mqa?dimana sy boleh dptkannya? Tq

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumsalam. boleh mohon dan dapatkan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Kementerian Pendididikan Malaysia di URL berikut:

      1. http://www2.mqa.gov.my/mqr/

      2. http://www2.mqa.gov.my/esisraf/

      Padam
  5. Salam. Saya ingin bertanya
    1)berapa lama tempoh menunggu keputusan temuduga
    2)berapa lama tempoh menunggu untuk lapor diri

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumsalam. Berdasarkan pengalaman saya;

      1. Tempoh menunggu keputusan temu duga lebih kurang dua (2) bulan dari tarikh temu duga.

      2. Tempoh menunggu untuk melapor diri pula lebih kurang dua (2) minggu selepas tarikh keputusan penempatan negeri diumumkan.

      Padam
  6. Ada soalan

    1. Bila tempoh masa kita nak tahu tempat penempatan kita selepas dah dapat tahu keputusan pelantikan tu

    2. Penempatan adakah dari SPP atau KPM ? Dan penempatan ni Diorang akan hantar melalui email kita atau ke sekolah terus ?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Assalamualaikum saudara.

      Jawapan

      1. Lebih kurang 6 minggu daripada tarikh keputusan pelantikan tu.

      2. Penempatan adalah daripada Kementerian Pendidikan Malaysia dan berkaitan penempatan tu, taklimat penempatan akan diadakan mengikut Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masing-masing dan semasa itulah anda akan mendapat keputusan di mana anda ditempatkan atau anda boleh membuat semakan secara dalam talian (online) tetapi ini bergantung kepada pihak JPN sendiri. Boleh baca lebih lanjut berkaitan perkara ini di sini: http://www.cikgusuhaimin.com/2019/10/kronologi-urusan-pelantikan-sebagai.html

      Harap dapat menjawab pertanyaan anda.

      Padam
  7. Utk saya mendapt pangilan temuduga.... Permohonan di jobs malaysia kan??

    BalasPadam
  8. Jadinya ... Bila da mohon di jobs malaysia.... Utk di pangil iv just tunggu email atau surat dr spp ke atau mcm mana ya???

    BalasPadam
  9. Terima kasih.
    Nak tanya, tunggu berapa lama untuk dipanggil temuduga, lepas apply di online?

    BalasPadam
  10. Terima kasih cikgu kerana sudi kongsikan maklumat dan pengalaman cikgu sepanjang temu duga. Saya ambilan jun 2020. Semoga ilmu dan pengalaman yang dikongsikan memberi manfaat kepada orang lain serta menjadi amal jariah kepada cikgu.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

BACA JUGA