DSKP Bahasa Melayu KSSR Semakan Tahun 1 ini adalah disediakan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia. Semoga bermanfaat.



Dapatkan "DSKP KSSR SEMAKAN BAHASA MELAYU TAHUN 1 (SK)" di sini

Di sini saya kongsikan bahan tersebut. Sila muat turun dengan menekan (click) pada ruangan kotak berwarna merah yang telah disediakan di bawah. Format dokumen ini ialah 'PDF' bersaiz 1MB.



Pendahuluan

Dunia pendidikan yang sangat dinamik dalam arus globalisasi menuntut perubahan dalam kurikulum. Seiringan dengan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia mengambil inisiatif menyemak dan melakukan penambahbaikan dalam kurikulum termasuklah Kurikulum Standard Bahasa Melayu yang turut melalui proses semakan dan penambahbaikan dalam penggubalannya. Standard Kurikulum Bahasa Melayu Sekolah Rendah yang mengandungi Standard Kandungan, Standard Pembelajaran dan Standard Prestasi yang didokumenkan sebagai Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Bahasa Melayu. Standard Kandungan, Standard Pembelajaran dan Standard Prestasi ini merupakan pernyataan yang merangkumi pengetahuan, kemahiran dan nilai yang mesti dipelajari dan dikuasai oleh murid di sekolah rendah.

DSKP Bahasa Melayu Sekolah Rendah mengambil kira pendekatan pengajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Sekolah Kebangsaan dan di Sekolah Jenis Kebangsaan bagi menjunjung peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan negara, bahasa ilmu dan bahasa pengantar di sekolah. Mata pelajaran Bahasa Melayu ini dijadikan pemangkin untuk memahami akal budi, pemikiran dan sosiobudaya penuturnya ke arah melahirkan semangat cinta akan bahasa dan tanah air yang dikongsi bersama dalam satu wawasan demi memartabatkan bahasa Melayu.

Pada asasnya, pembinaan kerangka standard ini berdasarkan prinsip Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah. Kurikulum ini mengetengahkan pendekatan berbentuk modular dan pembelajaran secara didik hibur serta pentaksiran secara holistik bagi mencungkil potensi murid dalam penerokaan pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Seterusnya, kurikulum ini membolehkan murid memperkembangkan dan menilai keupayaan serta penguasaan kemahiran bahasa mereka, serta mampu berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu secara berkesan dan bertatasusila dalam semua urusan.

Matlamat


Standard Kurikulum Bahasa Melayu Sekolah Rendah digubal untuk membolehkan murid berketerampilan dalam berbahasa dan boleh berkomunikasi untuk memenuhi keperluan diri, memperoleh ilmu pengetahuan, kemahiran, maklumat, nilai dan idea serta hubungan sosial dalam kehidupan harian.

Objektif Umum

 
Kurikulum Standard Sekolah Rendah mata pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah bertujuan membolehkan murid mencapai objektif berikut:
  1. Memberikan respons berdasarkan arahan, pesanan, dan pertanyaan dengan betul;
  2. Bercerita, berbincang dan mengemukakan pendapat tentang sesuatu perkara daripada pelbagai sumber secara bertatasusila;
  3. Membaca dengan sebutan dan intonasi yang betul, memahami, dan menaakul maklumat tersurat dan tersirat daripada pelbagai sumber untuk memberikan respons dengan betul;
  4. Membaca pelbagai bahan bagi memperkaya kosa kata dan maklumat untuk memupuk minat membaca;
  5. Mencatat, menulis, dan mengimlak untuk mengaplikasikan maklumat dengan menggunakan bahasa yang santun;
  6. Menghasilkan pelbagai penulisan, mengedit, dan menulis ulasan;
  7. Menghayati serta menghargai keindahan dan kesantunan bahasa dalam bahan sastera;
  8. Menggunakan sistem bahasa yang betul dalam pertuturan, pembacaan, dan penulisan; dan
  9. Menghargai dan mengamalkan nilai murni, bersikap positif, semangat patriotik, dan kewarganegaraan melalui aktiviti berbahasa.

Objektif Standard Kurikulum
Bahasa Melayu Tahun 1

 
Kurikulum Standard Sekolah Rendah mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 1 bertujuan membolehkan murid mencapai objektif berikut:



  1. Mengajuk dan menyebut perkataan, frasa dan ayat yang mengandungi pelbagai bunyi vokal, konsonan, diftong, vokal berganding, digraf, dan konsonan bergabung dengan sebutan yang betul;
  2. Mendengar, memahami, dan memberikan respons terhadap soalan, suruhan, dan pesanan dengan betul;
  3. Bertutur secara bertatasusila dengan sebutan yang betul dan intonasi yang sesuai untuk menyampaikan maklumat dan idea yang kritis dan kreatif;
  4. Membaca dengan sebutan yang betul, intonasi yang sesuai, dan memahami perkataan, frasa, dan ayat;
  5. Membaca, memahami dan menaakul bahan untuk mendapatkan kosa kata, idea tersurat, dan idea tersirat;
  6. Membaca dan mengenal pasti kandungan teks bahan sastera dan bahan bukan sastera;
  7. Membaca, memahami, dan mempersembahkan karya sastera;
  8. Menulis huruf, suku kata, perkataan, frasa, dan ayat secara mekanis dengan betul dan kemas
  9. Membina dan menulis jawapan pemahaman berdasarkan soalan bertumpu dan bercapah dengan betul
  10. Mencatat maklumat tentang sesuatu perkara;
  11. Menulis perkataan, frasa, dan ayat secara imlak;
  12. Menghasilkan penulisan naratif dan bukan naratif secara terkawal dengan betul;
  13. Mengedit dan memurnikan hasil penulisan daripada aspek ejaan dan tanda baca dengan betul;
  14. Bercerita dan menuturkan cerita haiwan, cerita jenaka, dan simpulan bahasa menggunakan bahasa kiasan yang sesuai;
  15. Melafazkan pantun nasihat dua kerat dan empat kerat dengan sebutan dan intonasi yang betul
  16. Menyanyikan lagu kanak-kanak dan lagu rakyat dengan irama yang betul
  17. Melagukan syair dengan sebutan dan intonasi yang betul;
  18. Mencipta dan mempersembahkan pantun dua kerat, empat kerat dan syair irama selendang delima secara kreatif;
  19. Mengenal pasti dan menggunakan kata nama am, kata nama khas, kata ganti nama, penjodoh bilangan, dan kata kerja mengikut konteks dengan betul;
  20. Mengenal pasti dan menggunakan kata adjektif, kata tugas, kata tanya, dan kata perintah mengikut konteks dengan betul;
  21. Mengenal pasti dan menggunakan kata berimbuhan awalan dan akhiran mengikut konteks dengan betul;
  22. Mengenal pasti dan menggunakan kata majmuk rangkai kata bebas mengikut konteks dengan betul;
  23. Mengenal pasti dan menggunakan kata ganda penuh mengikut konteks dengan betul; dan
  24. Mengenal pasti jenis ayat penyata, ayat tanya dengan kata tanya, ayat perintah dan ayat seruan, serta menggunakan ayat tunggal dan ayat majmuk mengikut konteks dengan betul. 

Dapatkan "DSKP KSSR SEMAKAN BAHASA MELAYU TAHUN 1 (SK)" di sini

Di sini saya kongsikan bahan tersebut. Sila muat turun dengan menekan (click) pada ruangan kotak berwarna merah yang telah disediakan di bawah. Format dokumen ini ialah 'PDF' bersaiz 1MB.


1 Ulasan

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

BACA JUGA