Assalamualaikum dan selamat sejahtera serta salam Kongsi itu Mesti, Berkat itu Pasti. Pada kali ini, saya berkongsi berkaitan 3 gelombang dalam Pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) berserta grafik yang menarik.




1. GELOMBANG 1 (2013 - 2015



Kementerian memberi penekanan kepada menambah baik sistem dengan mempercepatkan perubahan kaedah pelaksanaan program. Dalam tempoh pelaksanaan ini, tumpuan akan diberikan kepada kaedah peningkatan kualiti pengajaran dengan meningkatkan kemahiran guru sedia ada di dalam sistem, meningkatkan kualiti kepimpinan sekolah dengan memperbaiki pendekatan pelantikan dan melatih pengetua/guru besar, dan meningkatkan kadar literasi (bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dan numerasi menerusi program pemulihan yang intensif).

Kementerian juga akan mengukuhkan dan memberi pengupayaan kepada pegawai di peringkat negeri dan daerah untuk meningkatkan kualiti sokongan yang diberikan kepada kumpulan barisan hadapan ini bagi membantu semua sekolah. Menjelang akhir Gelombang 1, Kementerian akan memastikan semua guru, pengetua/guru besar dan sekolah mencapai tahap minimum standard kualiti yang dihasratkan. 

Antara inisiatif Kementerian dalam Gelombang 1 adalah:
👉Meningkatkan standard pengajaran melalui bimbingan guru secara khusus terutamanya dalam mata pelajaran teras (Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains).
👉Mereka bentuk semula soalan peperiksaan supaya lebih menjurus kepada soalan kemahiran berfikir aras tinggi.
👉Mengukuhkan kualiti pendidikan STEM melalui pengukuhan kurikulum, pengujian dan latihan guru, dan penggunaan model pembelajaran pelbagai mod (blended learning).
👉Melaksanakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Bahasa Malaysia SJK yang direka bentuk untuk murid yang bahasa ibundanya bukan bahasa Malaysia.
👉Mengukuhkan penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris melalui pengujian dan latihan semula guru, memperluas LINUS, dan menyediakan sokongan pemulihan serta model pembelajaran pelbagai mod (blended learning).
👉Melaksanakan 1BestariNet ke semua sekolah untuk mengintegrasi ICT dalam pembelajaran harian.
👉Melaksana Program Transformasi Daerah dengan tumpuan kepada sekolah berprestasi rendah termasuk murid berkeperluan khusus untuk memacu prestasi sekolah.
👉Merombak IPG dan latihan praperkhidmatan dan meningkatkan standard kemasukan bagi guru baharu.
👉Mewujudkan pembimbing pengetua/guru besar yang berdedikasi untuk sekolah Band 5,6 & 7 dan mengukuhkan kriteria pemilihan untuk pemimpin sekolah bagi meningkatkan kualiti kepimpinan sekolah.
👉Mentransformasi Kementerian dengan meletakkan pemimpin terbaik untuk menerajui jawatan penting di JPN dan PPD bagi meningkatkan prestasi sistem penyampaian.
👉Meningkatkan enrolmen prasekolah dan sekolah menengah melalui kempen galakan enrolmen, lebih pelibatan ibu bapa, dan program vokasional yang lebih baik.
👉Mengukuhkan praktikum dalam program vokasional melalui peningkatan kerjasama dengan sektor swasta.

2. GELOMBANG 2 (2016 - 2020)



Dalam tempoh Gelombang 2, Kementerian akan melaksanakan perubahan struktur sistem pendidikan negara untuk mempercepatkan perjalanan perubahan (rancangan untuk semua inisiatif akan bermula semasa Gelombang 1). Perancangan ini melibatkan pergerakan kesemua 410,00 guru dan 10,000 pengetua/guru besar kepada pakej kerjaya baharu, penstrukturan semula Kementerian, JPN dan PPD untuk menjajarkan dengan peranan yang direncanakan menerusi Gelombang 1, dan memperkenalkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah yang disemak semula dalam usaha menangani kebimbangan mengenai pengetahuan, kemahiran dan nilai untuk maju sesuai dengan perkembangan ekonomi dunia hari ini.

👉Melaksanakan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) semakan semula bagi meningkatkan standard kandungan dan pembelajaran setanding dengan standard antarabangsa.
👉Menarik minat dan kesedaran masyarakat dalam STEM melalui kempen dan kerjasama.
👉Merintis pilihan program untuk meningkatkan pendedahan kepada bahasa Inggeris, dan mengukuhkan penyediaan bahasa tambahan dalam usaha menambah baik penguasaan kemahiran bahasa secara menyeluruh.
👉Mengukuhkan program untuk kumpulan berkeperluan khusus seperti kumpulan peribumi dan kumpulan minoriti lain, pintar cerdas, dan berkeperluan khas.
👉Memacu inovasi ICT khususnya untuk pembelajaran jarak jauh dan pembelajaran terarah kendiri.
👉Meningkatkan bimbingan dan sokongan kepada guru bagi penambahbaikan penyampaian pengetahuan, kemahiran, dan nilai merentasi semua aspek kurikulum dan kokurikulum.
👉Meningkatkan kompetensi dan kemajuan berdasarkan prestasi serta memantapkan laluan kerjaya guru untuk mencergaskan semula profesion keguruan.
👉Mengukuhkan bahagian utama Kementerian, menyusun semula peranan Kementerian, JPN dan PPD untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan pelaksanaan.
👉Memperoleh akreditasi antarabangsa dan memantapkan kurikulum program matrikulasi sebagai persediaan murid ke universiti.
👉Memperluas pilihan pendidikan vokasional melalui perjanjian pelaksanaan dengan pembekal pendidikan vokasional swasta.

3. GELOMBANG 3 (2021 - 2025)



Pada permulaan Gelombang 3, semua sekolah, guru dan pengetua/guru besar perlu menunjukkan prestasi melebihi standard minimum. Oleh itu, Kementerian akan memberikan tumpuan kepada meningkatkan keluwesan operasi untuk memupuk budaya kepimpinan rakan setugas bagi pembangunan kecemerlangan profesional.Kementerian juga akan menganjakkan kebanyakan sekolah kepada model pengurusan berasaskan sekolah dan membangunkan model kejayaan sekolah berdasarkan inovasi dalam pengajaran. Matlamat Kementerian adalah untuk membangunkan sistem pengekalan kemajuan kendiri yang mampu untuk mencetuskan inovasi dan meningkatkan pencapaian yang lebih tinggi.

👉Meningkatkan inovasi dan pilihan bagi meningkatkan penguasaan kemahiran dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris secara berterusan dan menyediakan lebih banyak pilihan untuk mempelajari bahasa tambahan.
👉Melaksanakan program dan inovasi ICT bagi kumpulan berkeperluan khusus di seluruh negara untuk meningkatkan standard pembelajaran secara berterusan.
👉Memupuk budaya kecemerlangan profesional keteladanan rakan setugas, iaitu guru dan pemimpin sekolah saling membimbing, berkongsi amalan terbaik, dan memastikan rakan setugas mempunyai kebertanggungjawaban memenuhi standard profesional.
👉Mempertingkat pengurusan berasaskan sekolah dan autonomi dari segi pelaksanaan kurikulum dan pengurusan kewangan bagi kebanyakan sekolah yang layak, sekiranya tidak kepada semua sekolah.
👉Memperkasa Kementerian dan menginstitusikan transformasi melalui pengukuhan kemajuan kerjaya pegawai Kementerian.
👉Mengkaji semula penstrukturan sekolah untuk menentukan sekiranya wujud keperluan untuk mengoptimumkan laluan dan pilihan persekolahan.Memikir Cuba fikirkan, apakah impak pelaksanaan transformasi sistem pendidikan ini kepada : 
 Murid 
 Guru 
 Pemimpin sekolah 
 Ibu bapa



Rumusan

Inovasi dan perubahan yang berlaku dalam bidang pendidikan mempunyai matlamat untuk menghasilkan modal insan yang kreatif dan inovatif. Sebagai pengurus dan pendidik, mereka harus memahami peranan dan bersedia dalam menghadapi perubahan ini. Hal ini disebabkan inovasi dan perubahan akan memberi implikasi dalam setiap aspek program pendidikan yang dilaksanakan. Perubahan ini juga akan meningkatkan kualiti modal insan guru yang dihasilkan. Sebagai panduannya, Sistem Kualiti Pendidikan Malaysia akan mengawal hala tuju perubahan yang berlaku.

SUMBER : 



KONGSI ITU MESTI, BERKAT ITU PASTI
CIKGU SUHAIMIN

1 Ulasan

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

BACA JUGA