Assalamualaikum dan salam sejahtera. pada kali ini, saya akan berkongsi berkaitan SISC+. Adakah anda pernah mendengar istilah ini?. School Improvement Specialist Coaches atau SISC+ adalah salah satu inisiatif dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) di bawah program Transformasi Pejabat Pelajaran Daerah. SISC+ adalah pembimbing guru yang berdedikasi dan komited untuk mempertingkat kualiti Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) di sekolah.





Seseorang guru yang mempamerkan prestasi yang cemerlang serta memiliki kemahiran interpersonal dan intrapersonal yang baik merupakan calon yang sesuai untuk mengisi jawatan ini.  Pegawai yang dilantik sebagai SISC+ akan ditempatkan di PPD untuk membimbing guru mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. Pada masa ini SISC+ hanya akan dilantik untuk tiga mata pelajaran yang dinyatakan sahaja.

SYARAT KELAYAKAN MEMOHON SISC+


  1. Guru-guru Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris atau Matematik yang sedang berkhidmat dengan KPM.
  2. Memiliki opsyen sekurang-kurangnya  peringkat ijazah sarjana muda dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris atau Matematik.
  3. Berkhidmat sekurang-kurangnya 5 tahun dalam gred DG41. Ex-PPLD yang tempoh perkhidmatannya  setara juga layak memohon.
  4. Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) yang mempunyai pengalaman mengajar dan opsyen bagi mata pelajaran berkenaan juga layak memohon.
  5. Mempamerkan prestasi cemerlang sebagai guru mata pelajaran berkenaan.
  6. Mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang dan tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib.


GRED PERJAWATAN SISC+




Gred jawatan SISC+ adalah DG44 hakiki.

TATACARA PERMOHONAN



  1. Permohonan hendaklah melalui Ketua Jabatan masing-masing.
  2. Borang permohonan boleh dimuat turun dari portal KPM.
  3. Borang yang telah lengkap dan disahkan oleh Ketua Jabatan hendaklah dimajukan ke Pejabat
  4. Pelajaran Daerah masing-masing atau daerah yang dipohon.
  5. Panel PPD akan membuat saringan awal sebelum memajukan borang permohonan yang memenuhi syarat ke JPN masing-masing.
  6. Bagi negeri yang tidak mempunyai PPD, permohonan hendaklah dikemukakan ke Jabatan Pelajaran Negeri.
  7. Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) yang sedang berkhidmat di bahagian-bahagian KPM boleh mengemukakan permohonan ke JPN yang berkenaan melalui Ketua Jabatan masing- masing.
  8. Panel di JPN akan membuat saringan kedua sebelum memilih PPP yang akan ditemu duga.
  9. Calon yang lulus temu duga sahaja akan dilantik sebagai pegawai SISC+.
  10. Calon yang berjaya sahaja akan dihubungi oleh JPN masing-masing.
  11. Keputusan panel pelantikan SISC+ adalah muktamad.

TARIKH PERMOHONAN



KPM akan memaklumkan tarikh-tarikh pengambilan pegawai SISC+ melalui portal KPM. Semua permohonan hendaklah mematuhi tarikh-tarikh yang ditetapkan.

PENEMPATAN SISC+





Calon-calon yang berjaya akan ditempatkan di PPD berdasarkan
a. permohonan yang dikemukakan oleh calon
b. keperluan perjawatan dan kepentingan perkhidmatan.

* Keputusan penempatan adalah muktamad. Sebarang rayuan perlu dikemukakan kepada Ketua Perkhidmatan.

WAKTU BEKERJA



  1. Pegawai SISC+ akan bertugas mengikut waktu pejabat di mana pegawai ditempatkan.
  2. Pegawai diberi kelayakan cuti mengikut pekeliling perkhidmatan semasa.

SPESIFIKASI TUGAS SISC+

PPP yang dilantik sebagai SISC+ bertanggungjawab kepada Pegawai Pelajaran Daerah di PPD yang ditempatkan.  Tugas utama SISC+ adalah mempertingkat kualiti PdP guru mata pelajaran di bawah kawalannya ke arah mempertingkat penguasaan dan pencapaian murid.  Selaku SISC+, pegawai akan memperuntukkan 80%  hingga 90% masa bekerja dengan guru di sekolah.  Di antara tanggungjawab utama SISC+ adalah;

Antara tanggungjawab utama Pegawai SISC+ adalah;

  1. Memastikan tahap PdP guru - guru di bawah kawalan mencapai standard yang telah ditetapkan.
  2. Memastikan tahap pelaksanaan dasar dan program KPM dijalankan di sekolah.
  3. Merealisasikan KPI mata pelajaran yang telah ditetapkan.
  4. Meningkatkan tahap profesionalisme, pengetahuan, kemahiran dan sikap diri masing-masing.
  5. Membantu  dan menyelaras pelaksanaan latihan berterusan (CPD) untuk guru di daerah masing-masing.
  6. Dalam merealisasikan tanggungjawab di atas, skop tugas SISC+ boleh diperincikan seperti jadual di bawah.

1. Coaching and Mentoring



  1. Membimbing guru meningkatkan teknik pedagogi supaya lebih efektif, kreatif dan inovatif.
  2. Mencadangkan KPI mata pelajaran kepada sekolah.
  3. Berfungsi sebagai agen perubahan positif dan menjadi pakar rujuk sumber.

2. Kurikulum (Curiculum)




  1. Memberi bimbingan dan kefahaman kepada mengenai dasar dan program KPM seperti MBMMBI, LINUS, KSSR, KSSM, PBS dan lain-lain.
  2. Menyampaikan maklumat terkini mengenai mata pelajaran dan pelaksanaan penilaian kurikulum dalam bilik darjah.
  3. Mengenal pasti isu-isu semasa bagi setiap dasar dan program yang berkaitan mata pelajaran masing-masing.
  4. Membincangkan intervensi yang bersesuaian bagi mata pelajaran yang dibimbing.

3. Pelaporan (Reporting)


  1. Melaporkan dapatan penyeliaan dan bimbingan yang telah dilaksanakan kepada PPD setiap dua minggu.
  2. Menggunakan format pelaporan yang dibekalkan dalam buku panduan.

4. Jaringan (Networking)




  1. Melaksanakan perkongsian pintar.
  2. Melaksanakan sesi latihan bersama bagi sekolah-sekolah di bawah kawalan.


Sebagai pegawai yang akan banyak melaksanakan program bimbingan,  pegawai disarankan membuat perancangan yang teratur dengan persetujuan Pegawai Pelajaran Daerah.  Pegawai yang dilantik akan dibekalkan dengan garis panduan untuk membantu kelancaran pelaksanaan tugas.


LATIHAN

Latihan dan bimbingan akan diberi kepada pegawai-pegawai yang dilantik sebagai SISC+.

LALUAN KERJAYA

  1. Laluan kerjaya cemerlang untuk SISC+ sedang dibangunkan dan akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.
  2. Proses kenaikan pangkat pegawai SISC+ adalah berdasarkan prestasi masing-masing.





SUMBER :

JPN PERAK

"KONGSI ITU MESTI, BERKAT ITU PASTI"
CIKGU SUHAIMIN

maklum balas

Terbaru Lebih lama

BACA JUGA