Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Pada kali ini, saya akan berkongsi berkaitan soalan yang sering dikemukakan berkaitan Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21) berserta jawapannya. Alhamdulillah, saya telah mendapat info bermanfaat ini khususnya kepada kita sebagai warga pendidik daripada salah seorang ikon PAK-21 iaitu SISC Azura. Soalan dan jawapan yang beliau kongsi ini adalah bersumberkan pengalaman beliau sendiri sepanjang mengendalikan bengkel. Saya amat berterima kasih kepada beliau kerana sudi memberikan kebenaran kepada saya untuk membuat perkongsian berkaitan PAK-21 ini dalam blog saya.



Sehubungan dengan itu, berikut merupakan 26 SOALAN BERKAITAN PAK-1 BERSERTA JAWAPANNYA oleh SISC Azura :

1. BAGAIMANAKAH CARA UNTUK GURU MENULIS REFLEKSI PDPC?
  1. Refleksi PdPc perlu ditulis oleh guru selepas sesuatu PdPc. Guru perlu mencatatkan jumlah murid yang mencapai objektif dan jumlah murid yang tidak mencapai objektif berserta langkah penambahbaikan yang dibuat untuk membantu murid tersebut.
  2. Selain itu, guru juga perlu mencatatkan refleksi pentaksiran yang telah dijalankan ketika PdPc, iaitu jumlah murid yang mencapai band dan tahap penguasaan (TP) selain menanda (/) pada band atau TP dalam borang perekodan.

2. BILAKAH OBJEKTIF DAN KRITERIA KEJAYAAN PERLU DITULIS DAN DIBERITAHU KEPADA MURID?
  1. Objektif PdPc dan kriteria kejayaan perlu ditulis dan diberitahu kepada murid selepas guru melaksanakan aktiviti set induksi. Hal ini demikian kerana selepas set induksi baru guru mengaitkan apa yang dilakukan dengan isi pelajaran. Pada waktu itulah objektif dan kriteria kejayaan diberitahu dan ditulis atau ditampal pada sudut OPEM.

3. ADAKAH KRITERIA KEJAYAAN PERLU DITULIS DALAM RPH?
  1. Kriteria kejayaan disarankan untuk ditulis dalam RPH agar guru jelas cara murid menguasai objektif pembelajaran. Penulisan kriteria kejayaan juga sangat membantu guru merancang aktiviti yang sesuai dan penyediaan BBM atau BBB dalam PdPc yang ingin dijalankan di bilik darjah.

4. SELAIN ISYARAT GIVE ME FIVE, APAKAH CARA LAIN YANG BOLEH DIGUNAKAN UNTUK MENGAWAL KELAS ABAD KE-21?
  1. Untuk mengawal tingkah laku murid, guru boleh menyediakan carta sikap murid. Murid yang berbuat bising, namanya dilekatkan pada carta sikap negatif yang diwakili oleh gambar awan mendung. Apabila murid tersebut telah berubah sikap, namanya dilekatkan pada carta ceria yang diwakili oleh gambar matahari bersinar bersama dengan nama rakan lain.

5. SELAIN TRAFFIC LIGHT DIGUNAKAN UNTUK MENGETAHUI TAHAP PEMAHAMAN MURID, BOLEHKAH TRAFFIC LIGHT DIGUNAKAN UNTUK MENGAWAL MURID BERKOMUNIKASI?
  1. Boleh.
  2. Traffic light boleh digunakan untuk mengawal murid daripada bercakap apabila ingin melontarkan pertanyaan. Murid yang ingin bertanya, boleh diarahkan untuk mengangkat traffic light berwarna merah atau kuning dan guru akan bergerak ke arah murid tersebut.

6. SELAIN TRAFFIC LIGHT, ADAKAH CARA LAIN UNTUK MENGAWAL MURID DARIPADA BERBUAT BISING?
  1. Selain TRAFFIC LIGHT, guru juga boleh menggunakan TALKING CHIPS untuk mengawal murid daripada berbuat bising. Murid yang ingin bercakap perlu meletakkan cip di tengah meja terlebih dahulu. Penggunaan cip ini juga dapat mengawal daripada murid yang sama menjawab atau menguasai sesi perbincangan.

7. BENARKAH SUSUNAN KELAS ABAD KE-21 MENYEBABKAN MURID SAKIT LEHER?
  1. Tidak.
  2. Sebenarnya susunan kelas abad ke-21 tidak menyebabkan murid sakit leher. Jika guru berada di hadapan kelas dan meminta murid menyalin nota, bermakna kelas sahaja yang abad ke-21 tetapi pengajaran guru masih abad yang lampau.
  3. Kelas abad ke-21 perlu seiring dengan pelaksanaan PdPC abad ke-21, iaitu guru harus bergerak dari satu tempat ke satu tempat dan murid aktif berbincang sesama mereka untuk melaksanakan tugasan dan membuat pembentangan atau melaksanakan sesi perkongsian.

8. APAKAH MATLAMAT UTAMA PAK-21 DIPERKENALKAN?
  1. Untuk menghasilkan lebih ramai pembelajar sepanjang hayat, iaitu mereka yang mempunyai kemahiran pelbagai untuk memastikan kesinambungan kehidupan dalam zaman yang sentiasa berubah.

9. APAKAH APLIKASI YANG TERSEDIA UNTUK DIGUNAKAN DALAM PAK-21?
  1. Aplikasi yang tersedia selain VLE-frog, terdapat juga Kahoot (kuiz), schoology (seperti Facebook), Edmodo (seperti VLE-frog), Cmap (bina peta minda) dan sebagainya.

10. APAKAH ITU SUDUT OPEM?
  1. Sudut OPEM bermaksud sudut untuk guru menulis objektif pembelajaran dan kriteria kejayaan.

11. ADAKAH OBJEKTIF PEMBELAJARAN DAN KRITERIA KEJAYAAN PERLU DIBINCANGKAN DENGAN MURID?
  1. Objektif dan kriteria kejayaan ini bukan sahaja ditulis tetapi juga PERLU DITERANGKAN oleh guru kepada murid.
  2. Setiap kali mencapai objektif, cikgu perlu bertanya apa yang telah berjaya dicapai oleh murid dan murid membaca kriteria kejayaan yang dicatat oleh guru.
  3. AYAT OBJEKTIF:
Pada akhir pelajaran murid akan dapat:
i.
ii.
KRITERIA KEJAYAAN:
Saya dapat:
i.
ii.

12. ADAKAH PAPAN GANJARAN WAJIB DISEDIAKAN DI DALAM KELAS ABAD KE-21?
  1. Sebenarnya terdapat pelbagai bentuk ganjaran yang boleh dilaksanakan atau dibuat oleh guru untuk memberikan ganjaran kepada murid. Papan ganjaran salah satu kaedah yang boleh digunakan oleh guru untuk meletakkan tanda bintang pada ruangan nama murid yang mendapat ganjaran. Namun, jika tidak ada papan ganjaran, guru boleh memberikan pujian, tepukan, sorakan, lencana peneguhan atau hadiah kecil sebagai ganjaran.

13. ADAKAH PENULISAN RPH BERUBAH DENGAN PELAKSANAAN PAK-21?
  1. Penulisan RPH sebenarnya masih sama. Yang perlu ditambah hanya kriteria kejayaan dan bahagian aktiviti ditulis dengan jelas menunjukkan adanya PAK-21.
  2. Contoh penulisan aktiviti:
i. Murid dipertontonkan video yang berkaitan dengan.. dan bersoal jawab dengan guru.
ii. Murid diminta menganalisis watak perwatakan watak utama dan watak sampingan dalam teks yang ditetapkan oleh guru
dalam kumpulan. (KBAT - menganalisis)
iii. Hasil kerja murid dibentangkan secara gallery tour.
* Bagi Sekolah Amanah dan Sekolah Transformasi, terdapat format penulisan RPH yang telah ditetapkan.

14. ADA ATAU TIDAK VIDEO PDPC ABAD KE-21?
  1. Banyak yang bertanyakan soalan begini kepada saya. Sebenarnya terdapat banyak video yang telah dikongsi oleh guru yang melaksanakan PdPc abad ke-21 di dalam kelas dalam YouTube.
  2. Selain itu, portal e-guru juga terdapat video PdPc abad ke-21 untuk tontonan dan panduan guru. Layarilah portal untuk mendapatkan video terbaik sebagai rujukan dan panduan dalam melaksanakan PdPc abad ke-21.

15. BAGAIMANAKAH CARA UNTUK MENGIKUTI KURSUS ATAU BENGKEL BERKAITAN DENGAN PDPC ABAD KE-21?
  1. Kepada rakan pendidik yang berada di sekolah, pihak sekolah sememangnya perlu mengadakan 4 kali setahun LADAP @ LDP untuk peningkatan profesionalisme guru-guru. Mohonlah pihak sekolah untuk mengadakan bengkel PAK-21 sebagai salah satu LADAP @ LDP.
  2. Pihak sekolah boleh menghubungi jabatan atau pejabat pendidikan di tempat masing-masing untuk mengenal pasti penceramah yang boleh melaksanakan bengkel tersebut. Sekolah yang berhampiran dengan IAB, IPG atau universiti juga boleh menghubungi tempat-tempat tersebut bagi mendapatkan penceramah yang sesuai untuk bengkel PdPc abad ke-21.

16. ADAKAH BILANGAN MURID DI DALAM KELAS ABAD KE-21 ADA HADNYA?
  1. Secara ideal, bilangan murid di dalam kelas abad ke-21 adalah sebanyak 25 ORANG.
  2. Namun, ada sekolah yang jumlah murid di dalam satu kelas melebihi 25 orang. PdPc abad ke-21 masih boleh dilaksanakan dengan membuat susunan kerusi meja yang betul.
  3. Sebagai contoh, 36 orang murid di dalam satu kelas. Murid boleh dibahagikan kepada 6 kumpulan dengan 6 orang ahli setiap kumpulan.

17. ADAKAH PAK-21 HANYA UNTUK MURID KELAS PANDAI?
  1. PAK-21 bukan semata-mata untuk murid yang berada di kelas yang pandai. Bagi kelas yang lemah, PAK-21 turut boleh dilaksanakan. Guru perlu pandai memilih aktiviti dan bahan yang sesuai dengan tahap penguasaan murid.

18. BAGAIMANAKAH CARA UNTUK MENGGALAKKAN MURID AGAR AKTIF DI DALAM KELAS ABAD KE-21?
  1. Untuk menggalakkan murid aktif di dalam kelas abad ke-21, guru-guru boleh menyediakan aktiviti berbentuk permainan penyelesaian masalah, di samping menyediakan ganjaran seperti lencana peneguhan, gula-gula, pembaris atau memberikan pujian kepada murid-murid.

19. MENGAPAKAH SUSUNAN KERUSI MEJA MURID PENTING DI DALAM KELAS ABAD KE-21?
  1. Susunan kerusi meja murid penting di dalam kelas abad ke-21 kerana susunan ini MEMUDAHKAN GURU melaksanakan aktiviti perbincangan antara murid dan murid boleh disusun mengikut tahap dan kemampuan atau memberikan peluang kepada mereka yang lebih pandai menjadi pembimbing kepada rakan yang lemah ketika perbincangan atau aktiviti kumpulan diadakan.

20. BENARKAH PAK-21 MENYEBABKAN KELAS MENJADI BISING?
  1. Kelas yang baik ialah kelas yang muridnya aktif ketika PdPc berlangsung. Di dalam kelas abad ke-21, penglibatan murid sangat penting. Murid akan berinteraksi sesama mereka dalam kumpulan dan kadangkala melibatkan pergerakan untuk mereka berbincang dan menyelesaikan masalah berdasarkan tugasan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.
  2. Kadar kebisingan itu boleh dikawal oleh guru yang bertindak sebagai fasilitator menggunakan tanda isyarat seperti traffic light dan give me five atau menggunakan peralatan seperti loceng dan wisel.

21. APAKAH PERKAITAN ANTARA PAK-21 DENGAN SKPMg2?
  1. PAK-21 sangat penting dalam memastikan guru mendapat skor penarafan melebihi 80% dalam SKPMg2 Standard 4. Hal ini demikian kerana semua tindakan yang terdapat dalam SKPMg2 daripada aspek guru berperanan sebagai PERANCANG , PENGAWAL, PEMBIMBING, PENDORONG dan PENILAI serta murid yang bertindak sebagai pembelajar aktif berlaku apabila guru melaksanakan PAK-21.
  2. Dalam PAK-21, guru bertindak sebagai pemudah cara untuk murid meneroka pembelajaran secara kendiri dengan melaksanakan aktiviti berbentuk penyelesaian masalah dan KBAT secara kolaboratif dan koperatif.

22. BAGAIMANAKAH CARA UNTUK GURU MENULIS REFLEKSI PDPC?
  1. Refleksi PdPc perlu ditulis oleh guru selepas sesuatu PdPc. Guru perlu mencatatkan jumlah murid yang mencapai objektif dan jumlah murid yang tidak mencapai objektif berserta langkah penambahbaikan yang dibuat untuk membantu murid tersebut.
  2. Selain itu, guru juga perlu mencatatkan refleksi pentaksiran yang telah dijalankan ketika PdPc, iaitu jumlah murid yang mencapai band dan tahap penguasaan (TP) selain menanda (/) pada band atau TP dalam borang perekodan.

23. BILAKAH OBJEKTIF DAN KRITERIA KEJAYAAN PERLU DITULIS DAN DIBERITAHU KEPADA MURID?
  1. Objektif PdPc dan kriteria kejayaan perlu ditulis dan diberitahu kepada murid SELEPAS guru melaksanakan aktiviti SET INDUKSI.
  2. Hal ini demikian kerana selepas set induksi baru guru mengaitkan apa yang dilakukan dengan isi pelajaran. Pada waktu itulah objektif dan kriteria kejayaan diberitahu dan ditulis atau ditampal pada sudut OPEM.

24. APAKAH CARA MENGGALAKKAN MURID BERTANYAKAN SOALAN?
  1. Dalam SKPMg2, MURID bertindak sebagai PEMBELAJAR AKTIF perlu mengemukakan soalan berkaitan dengan isi pelajaran. Oleh itu, guru perlu menggalakkan murid untuk mengemukakan soalan.
  2. Guru boleh bertanya tentang apa yang kurang difahami oleh murid terlebih dahulu. Berikan masa kepada murid untuk berfikir dan kemudian lontarkan semula soalan yang sama.
  3. Guru juga boleh memberikan murid satu kertas nota kepada setiap orang atau setiap pasangan untuk mencatatkan soalan yang berkaitan dengan isi pelajaran yang kurang difahami atau untuk mengetahui lebih lanjut tentang sesuatu perkara.
  4. Selain itu, guru juga boleh mengadakan pertandingan murid paling banyak mengemukakan soalan dengan memberikan ganjaran sebagai galakan untuk murid mengemukakan soalan.

25. ADAKAH DIDIK HIBUR TERGOLONG DALAM PAK21?
  1. Ya, didik hibur salah satu teknik pengajaran dalam PAK-21. Hal ini demikian kerana didik hibur bukan sahaja merupakan satu aktiviti yang memberi keseronokan bahkan aktiviti ini memerlukan murid berkarya, menilai persembahan dan melibatkan diri secara aktif sama ada dalam kumpulan ataupun melibatkan satu kelas.

26. APAKAH CARA MEMASTIKAN PARKING LOT YANG DISEDIAKAN DI DALAM BILIK DARJAH DIGUNAKAN DENGAN SEPENUHNYA?
  1. Bagi memastikan parking lot yang disediakan digunakan sepenuhnya, guru boleh mengadakan AKTIVITI KERTAS DUA MINIT untuk murid membuat refleksi tentang pembelajaran yang telah diikuti. Setelah tamat, murid boleh menampal semua refleksi tersebut pada parking lot yang disediakan.
  2. Di situ, guru perlu mengambil maklum dan memberikan penerangan jika ada soalan yang ditampal oleh murid pada parking lot tersebut.
  3. Dari parking lot tersebut, guru dapat mengetahui jumlah murid yang menguasai atau tidak menguasai pembelajaran hari tersebut.
  4. Selain itu, guru juga boleh menyediakan sticker atau borang untuk murid tanda sebelum guru keluar dari kelas dan ditampal pada parking lot.

CREDIT TO : SISC AZURA

"KONGSI itu MESTI, BERKAT itu PASTI"
- CIKGU SUHAIMIN -

1 Ulasan

  1. Sesuai dilaksanakan di kwsn bamdar dan mempunyai capaian internet yg laju shj.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

BACA JUGA