Bahasa Melayu KSSR (Semakan 2017) ini dikongsikan sebagai rujukan dan panduan khususnya kepada warga pendidik sekolah rendah yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu.
Matlamat
Kurikulum standard pendidikan Bahasa Melayu Sekolah Rendah
digubal untuk membolehkan murid berketerampilan berbahasa dan boleh
berkomunikasi untuk memenuhi keperluan diri, memperoleh ilmu pengetahuan,
kemahiran, maklumat, nilai dan idea serta hubungan sosial dalam kehidupan
harian.
Objektif
KSSR mata pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah bertujuan
membolehkan murid mencapai objektif berikut:
- Memberikan respons berdasarkan arahan, pesanan, dan pertanyaan dengan betul.
- Bercerita, berbincang dan mengemukakan pendapat tentang sesuatu perkara daripada pelbagai sumber secara bertatasusila.
- Membaca dengan sebutan dan intonasi yang betul, memahami, dan menaakul maklumat tersurat dan tersirat daripada pelbagai sumber untuk memberikan respons dengan betul;
- Membaca pelbagai bahan bacaan bagi memperkaya kosa kata dan maklumat untuk memupuk minat membaca.
- Mencatat, menulis, dan mengimlak untuk mengaplikasikan maklumat dengan menggunakan bahasa yang santun.
- Menghasilkan pelbagai penulisan, mengedit, dan menulis ulasan.
- Menghayati serta menghargai keindahan dan kesantunan bahasa dalam bahan sastera.
- Menggunakan sistem bahasa yang betul dalam pertuturan, pembacaan dan penulisan.
- Menghargai dan mengamalkan nilai murni, bersikap positif, semangat patriotik, dan kewarganegaraan melalui aktiviti berbahasa.
Fokus
Pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah
berfokus pada kemahiran literasi (konsep kembali kepada asas) dan aplikasi bahasa.
Kemahiran asas literasi memberi penekanan kepada murid Tahap I (Tahun 1, Tahun 2
dan Tahun 3) untuk menguasai sepenuhnya asas kemahiran mendengar, bertutur,
membaca dan menulis serta dilaksana sepenuhnya dalam pengajaran dan
pembelajaran (PdP) secara terancang.
Pada Tahap II (Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6) pula,
pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu memberi penekanan kepada pengukuhan
literasi dan aplikasi kemahiran bahasa supaya mereka lebih berketerampilan
berbahasa dalam bentuk lisan dan bertulis.
Melalui penguasaan kemahiran mendengar dan bertutur,
murid dapat berkomunikasi dalam pelbagai situasi dengan lebih berkesan,
manakala melalui kemahiran membaca, murid dapat meningkatkan kosa kata,
memperoleh dan memproses maklumat serta dapat memupuk minat membaca. Penguasaan
kemahiran menulis pula, murid dapat mengaplikasikan maklumat dalam pelbagai
bentuk penulisan bagi menyampaikan idea mereka.
Fokus juga diberikan dalam penguasaan tatabahasa
yang baik bagi membantu murid berkomunikasi dengan menggunakan sistem bahasa
yang betul dan menghasilkan penulisan yang berkualiti dan kreatif. Manakala
dalam aspek Seni Bahasa pula, murid dapat mengapreasiasikan keindahan bahasa
Melayu melalui pelbagai teknik kemahiran bahasa yang santai dan menyeronokkan.
Penekanan aktiviti dalam sesuatu PdP dan penggunaan
pelbagai bahan yang menarik secara didik hibur bagi semua kemahiran dan aspek
seni Bahasa dan tatabahasa. Penggunaan pelbagai strategi dalam PdP dapat
membantu murid menguasai dan menghayati pembelajaran bahasa dengan lebih
berkesan.
Organisasi Kandungan
Organisasi Kandungan DSKP ini dipersembahkan dalam
bentuk modular yang dibahagikan kepada bahagian dan unit yang terdiri daripada
standard kandungan, standard pembelajaran dan standard prestasi. Setiap
standard ini berpaksikan kemahiran bahasa dan sistem bahasa yang disokong oleh
pengisian kurikulum.
Selain itu, setiap standard ini mengandungi elemen
pengetahuan, kemahiran, nilai murni, kreativiti dan inovasi yang perlu dikuasai
oleh murid selama enam tahun pembelajaran di sekolah rendah. Ketiga-tiga standard
ini dijelaskan dalam jadual seperti berikut:
Kemahiran Bahasa
Kemahiran bahasa merupakan teras kepada Standard
Kurikulum Bahasa Melayu. Dalam mencapai kemahiran bahasa dalam standard ini,
Setiap kemahiran tersebut telah diorganisasikan seperti berikut:
Kemahiran Mendengar dan Bertutur
Kemahiran mendengar merujuk pada keupayaan murid
mendengar dengan teliti, memahami dan menghayati secara lisan perkara yang
didengar dalam pelbagai situasi pengucapan, serta dapat memberikan respons.
Kemahiran bertutur pula merujuk keupayaan murid berkomunikasi untuk menjalin
hubungan dan menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan serta idea yang kreatif
dan kritis dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan dan
bertatasusila. Penggunaan tatabahasa yang betul diberikan penekanan dalam
kemahiran bertutur.
Kemahiran Membaca
Kemahiran membaca merujuk keupayaan murid membaca
dengan sebutan, intonasi, jeda, dan kelancaran yang betul. Penekanan perlu
diberikan pada aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan secara kritis
dengan menggunakan pelbagai teknik bacaan yang sesuai. Di samping itu, melalui
kemahiran ini murid juga berupaya menghayati teks yang dibaca.
Kemahiran Menulis
Kemahiran menulis merujuk keupayaan murid menulis
perkataan dan melahirkan
idea melalui pelbagai jenis penulisan yang
berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi yang telah dilalui.
Penekanan perlu diberikan pada penggunaan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan
yang betul, serta tulisan yang jelas dan kemas. Murid juga digalakkan
menggunakan kreativiti mereka untuk menghasilkan
penulisan berunsur pengetahuan dan imaginasi. Penguasaan kemahiran bahasa ini
diperoleh melalui situasi dan konteks dalam pelbagai bahan prosa, puisi dan
grafik.
Aspek Seni Bahasa
Aspek seni bahasa merujuk kebahasaan,
keindahan dan kehalusan dalam bahasa Melayu yang perlu difahami dan dikuasai
oleh murid. Penguasaan aspek seni bahasa merangkumi kecekapan memahami,
mengungkap dan menghayati bahasa yang indah. Pada Tahap II, murid diperkenalkan
dengan seni khat Nasakh bagi memberi pendedahan tentang asas seni penulisan
khat. Hal ini diharapkan dapat memupuk minat murid terhadap penulisan khat. Melalui pembelajaran aspek ini, murid
menghasilkan dan mempersembahkan karya kreatif pelbagai genre secara lisan dan
bertulis melalui variasi teknik yang menarik. Aspek seni bahasa juga
menzahirkan pembelajaran yang menyeronokkan secara didik hibur.
Aspek Tatabahasa
Aspek tatabahasa merujuk morfologi dan
sintaksis bahasa Melayu yang perlu difahami dan dikuasai oleh murid. Aspek ini
perlu diajarkan dan dilaksanakan melalui pengajaran yang terancang dengan teknik
yang sesuai dan berkesan supaya murid memahami dan menggunakan tatabahasa
dengan betul dan tepat dalam pelbagai konteks secara lisan dan bertulis.
Standard Kandungan Pendidikan Bahasa Melayu
(Tahap I)
Murid patut mengetahui dan boleh
melakukan:
Kemahiran Mendengar dan Bertutur
- Mendengar dan memberikan respons.
- Bertutur untuk menyampaikan maklumat dan idea bagi pelbagai tujuan.
Kemahiran Membaca
- Asas membaca dan memahami.
- Membaca, memahami, dan menaakul bahan grafik dan bukan grafik.
Kemahiran Menulis
- Asas Menulis.
- Menulis perkataan, frasa, dan ayat yang bermakna.
- Menghasilkan Penulisan.
Aspek Seni Bahasa
- Mengaplikasikan unsur keindahan dan kesantunan bahasa dalam bahan sastera.
- Menghayati keindahan dan kesantunan bahasa dalam bahan sastera.
- Menghasilkan bahan sastera dengan menyerapkan keindahan dan
- kesantunan bahasa serta mempersembahkannya secara kreatif.
Aspek Tatabahasa
- Memahami fungsi dan menggunakan golongan kata mengikut konteks.
- Memahami dan menggunakan pembentukan kata mengikut konteks.
- Memahami dan membina ayat mengikut konteks.
Standard Kandungan Pendidikan Bahasa Melayu
(Tahap II)
Murid patut mengetahui dan boleh melakukan:
Kemahiran Mendengar dan Bertutur
- Mendengar dan memberikan respons semasa berkomunikasi dalam situasi formal, dan situasi tidak formal.
- Bertutur untuk menyampaikan maklumat dan idea bagi pelbagai tujuan.
- Bercerita, dan menceritakan sesuatu perkara dengan sebutan dan intonasi yang betul.
Kemahiran Membaca
- Asas membaca dan memahami.
- Membaca, memahami, dan menaakul bahan multimedia.
- Membaca dan mengapresiasi karya sastera dan bukan sastera
Kemahiran Menulis
- Asas Menulis.
- Menulis perkataan, frasa, dan ayat yang bermakna.
- Menghasilkan Penulisan.
Aspek Seni Bahasa
- Mengaplikasikan unsur keindahan dan kesantunan bahasa dalam bahan sastera.
- Menghayati keindahan dan kesantunan bahasa dalam bahan sastera
- Menghasilkan bahan sastera dengan menyerapkan keindahan dan kesantunan bahasa serta mempersembahkannya secara kreatif.
- Mengaplikasikan, menghayati dan menghasilkan unsur keindahan dalam tulisan khat jawi.
Aspek Seni Tatabahasa
- Memahami dan menggunakan golongan kata mengikut konteks.
- Memahami dan menggunakan bentuk kata mengikut konteks.
- Memahami dan membina ayat mengikut konteks.
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum. (2017). Buku Penerangan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) (Semakan 2017). Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia
Catat Ulasan