BLOG PENDIDIKAN - MOHD SUHAIMIN ISNEN - KONGSI ITU MESTI, BERKAT ITU PASTI - SEJAK 2 JANUARI 2017

Saturday, February 11, 2017

Elemen Didik Hibur dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Bahasa Melayu






Terdapat empat (4) komponen asas didik hibur yang boleh digunakan dalam Pengajaran dan Pembelajaran khususnya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu iaitu :


Nyanyian
Lakonan
Penceritaan
Puisi




Didik Hibur

Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah yang Lebih Menyeronokkan

Kerajaan telah mengambil inisiatif memperkenalkan kurikulum baru bagi sekolah rendah dalam sistem pendidikan negara iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) di  mana ia dimurnikan daripada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR). Kurikulum tersebut telah dilaksanakan mulai tahun 2010. Antara pemurnian yang dilaksanakan ialah kemahiran didik hibur. Empat elemen yang terkandung dalam didik hibur ialah nyanyian, aktiviti bercerita, lakonan dan puisi. Menurut Kamus Dewan (2000), didik didefinisikan sebagai pelihara, jaga dengan hati-hati dan ajar manakala hibur didefinisikan sebagai menggembirakan atau meriangkan. Oleh itu, didik hibur dapat dirumuskan sebagai satu pendekatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang bersifat santai dan berhibur seperti permainan, nyanyian, bercerita, lakonan dan puisi secara sistematik dan terancang. 

Strategi memartabatkan Bahasa Melayu (MBM)  telah diumumkan oleh bekas Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin di semua peringkat sekolah. Kerajaan melalui KPM memberi fokus dan penekanan kepada penguasaan asas kemahiran berbahasa dalam kalangan murid menerusi pendekatan modular yang bersepadu, holistik dan seimbang. Ia merangkumi aspek kemahiran membaca, menulis, bertutur dan mendengar serta menguasai tatabahasa dan seni bahasa. Penerapan didik hibur di sekolah rendah berfokus kepada apresiasi bahasa untuk merealisasikan hasrat transformasi berikut. Terdapat tiga objektif utama pelaksanaan pendekatan didik hibur dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah rendah iaitu mengguna dan memahami sesuatu pelajaran secara didik hibur, mengguna dan memahami bahasa yang indah atau bahasa badan dalam aktiviti dan mengguna dan memahami sesuatu kemahiran yang ditunjukkan secara didik hibur. 

Pengajaran dan pembelajaran berunsurkan didik hibur mestilah memiliki beberapa ciri-ciri tertentu. Antaranya sesi pembelajaran di dalam atau di luar bilik darjah bersifat menyeronokkan di mana terkandung unsur kelakar, kecindan, unsur estetik, permainan muzik, lakonan dan lain-lain. Didik hibur dapat mengurangkan tahap kebimbangan dan ketakutan murid terhadap guru. Ini kerana suasana pengajaran dan pembelajaran yang santai dan positif akan membuatkan murid tertunggu-tunggu untuk mengikuti sesi pembelajaran pada hari yang akan datang. Pengajaran dan pembelajaran hendaklah berpusatkan murid kerana melibatkan seramai murid dalam aktiviti berbahasa. Misalnya, aktiviti lakonan yang dapat mendedahkan murid dalam kemahiran berdialog dengan baik. Selain itu, penggunaan ICT dan BBM yang menarik ternyata berkesan untuk menarik minat dan fokus murid terhadap isi pelajaran yang disampaikan.

Selain itu, antara ciri pengajaran dan pembelajaran didik hibur ialah cenderung kepada pelbagai cara penyelesaian masalah dan kepelbagaian cara persembahan yang tidak mempunyai unsur kalah atau menang, tiada ganjaran mahupun dendaan sebaliknya lebih menjurus kepada aktiviti berbahasa. Didik hibur yang dipilih dalam sesuatu aktiviti hendaklah lebih berfokus kepada aktiviti berkumpulan atau berpasangan kerana akan mewujudkan semangat kerja berpasukan, toleransi dan kerjasama. Melalui didik hibur murid didapati bebas bersuara, mengeluarkan pendapat serta idea yang bernas dan logik namun masih terkawal dalam pengajaran dan pembelajaran. 

Aktiviti didik hibur banyak menggunakan komunikasi melalui bahasa badan. Bahasa badan merujuk kepada bahasa gerak di mana ia merupakan sebahagian daripada proses komunikasi dan berperanan menggambarkan sebarang reaksi dalam menunjukkan sesuatu aktiviti sama ada positif mahupun negatif. Bahasa badan melibatkan apa jua anggota badan misalnya mata, kening, tangan, lengan dan bibir. Dalam konteks didik hibur, bahas badan ialah ‘bahasa gerak badan’ yang diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran supaya dapat meningkatkan keberkesanan penyampaian semasa melakukan sesuatu aktiviti. 

Didik hibur dapat dilaksanakan secara penyerapan dalam pengajaran dan pembelajaran sesuatu mata pelajaran dengan memberi fokus kepada aktiviti mengguna dan memahami penyerapan sesuatu situasi. Penyerapan merujuk kepada proses menyerapkan pelbagai disiplin ilmu, nilai murni dan kemahiran bernilai tambah yang dipelajari semasa proses pengajaran dan pembelajaran (KPM, 2001).  Didik hibur merupakan penyerapan pelbagai ilmu dan tema. Dalam konteks didik hibur proses penyerapan merupakan proses menyerapkan ilmu melalui pelbagai aktiviti secara santai dalam pengajaran dan pembelajaran sesuatu subjek di sekolah.

Terdapat banyak kaedah untuk mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran bagi subjek Bahasa Melayu yang lebih menyeronokkan. Nyanyian merupakan salah satu kaedah yang paling digemari oleh murid kerana iringan muzik memberi impak kepada nyanyian dan dapat membantu murid menguasai kosa kata, sebutan, intonasi, rima dan struktur ayat. Aspek nyanyian ternyata dapat menceriakan sesi pengajaran dan pembelajaran, mengukuhkan aspek kemahiran asas berbahasa serta membantu murid mengingati apa-apa yang dipelajari dengan mudah. Prinsip semasa melaksanakan kaedah nyanyian ialah guru memilih lagu yang sesuai (tata bahasa, maksud bahasa), melodi yang mudah diikuti, sesuai dengan tahap kesediaan dan pencapaian, lagu memiliki jalan cerita, pengajaran, motivasi dan nilai serta tidak membebankan guru dan murid. Antara lagu yang menarik untuk dinyanyikan ialah Tiga Kupang, Air Pasng Pagi, Oh Bulan dan Lompat Si Katak Lompat.

Kaedah bercerita merupakan satu kaedah yang amat disukai oleh murid kerana kanak-kanak amat menyukai mendengar cerita. Guru hendaklah bersedia bercerita secara natural kerana sesuatu cerita dapat memberi pengajaran, nilai murni dan menyuburkan imaginasi murid. Kaedah bercerita dapat dibahagikan kepada dua iaitu bercerita tanpa alat dan dengan alat. Antara tajuk cerita yang boleh disampaikan kepada murid ialah Pemotong Kayu dan Kapaknya, Gagak Yang Bijak dan sebagainya. 

Antara elemen lain dalam didik hibur ialah lakonan. Kelebihan aktiviti lakonan ialah membolehkan murid bertutur dengan gaya, intonasi, suara, nada dan sebutan yang betul. Selain itu, lakonan membiasakan murid bertutur menggunakan bahasa yang kemas dan teratur serta membantu murid berinteraksi dengan orang lain untuk menyatakan perasaan, keinginan, pengalaman dan fikiran mereka. Antara cadangan aktiviti lakonan ialah membuat lakonan ringkas seperti memberi ucap tahniah, meniru aksi pendaki, melakonkan semula situasi seperti penjual ikan, melakonkan dialog yang disediakan, meniru aksi yang pernah dilihat seperti jatuh, melakonkan semula adegan yang pernah dilihat seperti filem dan melakonkan dengan menggunakan alatan seperti boneka, kain atau bunga.

Faktor kejayaan didik hibur dalam sesuatu pengajaran dan pembelajaran dipengaruhi oleh guru dan aktiviti. Menurut Pullias & Young (1982), guru merupakan segala-galanya dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Manakala Syed Lutfi (1994) menyatakan guru yang akan menjalankan pelbagai peranan dalam bilik darjah. Ini membuktikan bahawa kejayaan sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran adalah terletak kepada kebijaksanaan dan kepakaran guru sebagai pengurus dan perancang pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Oleh itu, sebagai guru misalnya guru Bahasa Melayu, terdapat beberapa perkara yang perlu dipatuhi iaitu perwatakan guru yang menarik, kecindan, tidak menakutkan murid, bahasa yang digunakan mestilah bersesuaian dengan tahap murid, guru tidak menjatuhkan air muka atau memalukan murid di khalayak, guru sebagai seorang pengurus sesuatu aktiviti yang dilaksanakan, guru berkebolehan melakonkan pelbagai watak dan membuat pelbagai suara. Selain itu, guru mestilah memberi arahan dengan tepat dan menarik, prihatin, peka dan tajam daya pemerhatian, guru berkebolehan menukar penyesuaian mendadak dan memainkan peranan sebagai fasilitator yang fleksibel. 

Didik hibur juga bergantung kepada kejayaan sesuatu aktiviti yang dirancang. Oleh itu, semasa merancang sesuatu aktiviti guru hendaklah mengambil kira beberapa aspek seperti aktiviti perlu disesuaikan dengan tahap murid yang hendak diajar, menjalankan aktiviti yang murid sedia ketahui berdasarkan silang budaya yang sama, penyerapan didik hibur memerlukan tempoh pelaksanaan dan peruntukkan masa pembelajaran yang fleksibel dan aktiviti dapat dilaksanakan dan diselesaikan bersama murid tanpa menghadapi banyak halangan atau masalah. Selain itu, aktiviti yang dipilih tidak menjurus ke arah permusuhan atau konflik antara murid dalam kelas, guru hendaklah menyediakan arahan yang jelas, mudah difahami dan aktiviti yang dirancang berjaya memberi kepuasan kepada semua murid yang menyertainya dan dapat disertai seramai murid.





Share:

0 komen:

Post a Comment

JUMLAH KUNJUNGAN SEJAK 02 JANUARI 2017

"LIKE" FACEBOOK PAGE SAYA

CIKGU SUHAIMIN

"SUBSCRIBE" SALURAN "YOUTUBE" SAYA

PEMBERITAHUAN DARIPADA KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

MAKLUM BALAS TERKINI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...