Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Perkongsian pada kali ini berdasarkan pengalaman saya sendiri menggunakan salah satu perisian Microsoft Office iaitu Excel dalam merekod pelibatan murid saya dalam Pengajaran dan Pembelajaran Jarak Jauh (PDPJJ) yang saya jalankan sepanjang tempoh PKPDB berkuat kuasa.

Kemahiran Menganalisis

Kemahiran menganalisis ini bukan sahaja dapat dibuat melalui pemerhatian secara berterusan, tetapi boleh menggunakan instrumen-instrumen tertentu yang dapat menyokong dan mengesahkan dapatan kita. Antaranya ialah melalui perekodan dan perisian yang sering dikaitkan dengan aktiviti perekodan ialah Excel.

Excel

Excel sering digunakan untuk menganalisis sesuatu data secara sistematik kerana fungsi-fungsinya yang sangat hebat (pada pendapat saya) dalam memproses sesuatu data secara AUTOMATIK dan CEPAT lagi TEPAT mengikut kehendak pengguna menggunakan rumus-rumus (formula) dan fungsi-fungsinya yang tertentu.

Pelaksanaan PKPDB melibatkan penutupan sekolahku

Sejak 29 September 2020 yang lalu, arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara yang turut melibatkan penutupan tempatku berkhidmat dalam membendung penularan wabak pandemik Covid-19 yang dijangka akan berakhir pada 12 Oktober ini.

PDPJJ digunakan semula

PKPDB yang berkuat kuasa ini secara langsungnya menjadikan aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran Jarak Jauh (PDPJJ) dilaksanakan semula yang mana guru mengajar dan murid belajar secara jarak jauh iaitu dari rumah (home-based learning).

Belajar menggunakan Excel

Saya suka mengenal pasti murid-murid yang dapat menyertai atau mengikuti aktiviti Pembelajaran dan Pembelajaran Jarak Jauh ini dan sebaliknya. Untuk itu, saya baru mempelajari beberapa fungsi dan rumus (formula) yang boleh digunakan untuk memudahkan saya mengenal pasti:

  1. Jumlah keseluruhan murid yang menghantar/melaksanakan aktiviti PdP berdasarkan hari mengikut tahun dan kelas(menggunakan rumus COUNTIF).
  2. Peratus murid yang menghantar/melaksanakan aktiviti PdP berdasarkan hari mengikut tahun dan kelas (menggunakan rumus SUM).
  3. Jumlah kekerapan setiap murid menghantar/melaksanakan aktiviti PdP (menggunakan rumus COUNTIF).
  4. Jumlah kekerapan setiap murid tidak menghantar/melaksanakan aktiviti PdPJJ (menggunakan rumus COUNTIF).
  5. Peratus setiap murid melaksanakan tugasan (menggunakan rumus SUM).

Excel yang kira, bukan kita

Daripada maklumat di atas, saya dapat mengenal pasti murid yang sentiasa melaksanakan tugasan dan sebaliknya secara AUTOMATIK tanpa perlu mengiranya secara manual.

Daripada maklumat tersebut juga, saya dapat memberikan hadiah atau apa-apa bentuk ganjaran  kepada murid yang sentiasa berusaha dan berjaya mengikuti aktiviti PdPJJ yang saya jalankan dan mencari jalan penyelesaian untuk murid yang tidak pernah mengikuti aktiviti PdPJJ tersebut.

Berikut merupakan contoh maklumat yang telah saya peroleh daripada salah satu kelas yang saya ajar berdasarkan rekod penghantaran tugasan mereka mengikut hari berlangsungnya aktiviti PdPJJ saya.

Data

Data berserta rumus

Sangat mudah dan memudahkan. 

Penerangan 1
Basic yang perlu ada untuk buat data sebegini ialah mengetahui kedudukan atau nombor setiap cell dalam Excel. Barulah senang untuk guna rumus yang ada. Selepas itu, copy paste sahaja dan drag pada setiap cell yang kita inginkan.


Penerangan 2



Terima kasih Kak Zam!

Saya budak baru belajar menggunakan perisian Excel ini. Tidak mustahil anda berjaya melakukan sebegini. Untuk itu, JUTAAN TERIMA KASIH saya tujukan kepada Kak Zam (Cikgu Zamrina binti Samiron) kerana membimbing saya untuk membuat analisis data sebegini.

Insya-Allah, ilmu ini akan saya kongsikan kepada rakan-rakan yang lain kerana memang memudahkan untuk kita sebagai guru mengenal pasti murid-murid kita sama ada mereka mengikuti aktiviti PdPJJ kita atau sebaliknya. 

Sangat penting untuk kita mengetahui terlebih dahulu pelibatan murid kita sepanjang PdPJJ kita berlangsung lebih-lebih lagi dalam situasi pandemik sekarang ini. Daripada jumlah pelibatan murid (sekiranya jumlah murid yang melibatkan diri dalam PdPJJ adalah kurang/rendah), barulah kita memikirkan kaedah/aktiviti PdP yang lain bagi memastikan murid-murid bukan sahaja belajar, tetapi pada masa yang sama, seronok melaksanakan tugasan yang kita berikan.

Jom sama-sama teroka Excel!

Oleh itu, saya sangat galakkan kita semua bersama-sama mempelajari dan mendalami fungsi-fungsi yang terdapat dalam perisian Excel ini untuk memahirkan diri kita dalam menganalisis data dengan lebih sistematik dan cepat (menjimatkan masa). 

Sekian perkongsian saya pada kali ini bagi artikel PKPDB: Excel perisian terbaik untuk rekod pelibatan murid dalam PDPJJ. Walaupun nampak mudah dan ringkas, tetapi mampu memberikan impak yang tinggi kepada kita dalam menganalisis data seperti ini (lebih-lebih lagi kepada saya yang baru mempelajari ilmu sebegini. Excited mau apply kemahiran ini untuk tujuan yang lain). Sehubungan dengan itu, saya sangat galakkan kita merekod pelibatan murid kita dalam PdPJJ menggunakan perisian Excel ini.

Daripada pengalaman, datangnya pengetahuan,
Daripada pengetahuan, datangnya ilham,
Daripada ilham, datangnya perkongsian,
Daripada perkongsian, datangnya keberkatan.

Sekian,

"KONGSI ITU MESTI, BERKAT ITU PASTI"

MOHD SUHAIMIN BIN ISNEN
8 Oktober 2020 (Khamis)


1 Ulasan

  1. assalamualaikum...macam mana nk dapatkan tapak perekodan ni??

    BalasPadam

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

BACA JUGA