Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pada kali ini, saya berkongsi berkaitan salah satu perkara yang ditekankan atau diutamakan dalam sistem pendidikan negara kita yang merujuk kepada elemen yang terdapat dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025 iaitu ASPIRASI PENDIDIKAN. Umum sedia maklum, aspirasi bermaksud keinginan yang kuat atau cita-cita (Kamus Dewan Edisi Keempat).


Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia berhasrat untuk mencapai lima keberhasilan bagi sistem pendidikan Malaysia secara keseluruhan, iaitu Akses (1), Kualiti (2), Ekuiti 3), Perpaduan (4), dan kecekapan (5).


5 ASPIRASI PENDIDIKAN
BERDASARKAN
PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA
(PPPM)
2013 - 2025


1. AKSES



Setiap kanak-kanak warganegara Malaysia berhak mendapat kesamarataan peluang pendidikan bagi membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing. Kementerian berhasrat memastikan kadar akses sejagat dalam kalangan kanak-kanak dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat menengah atas (Tingkatan 5) menjelang 2020.

2. KUALITI



Semua kanak-kanak akan berpeluang mendapat pendidikan cemerlang berdasarkan keunikan sistem pendidikan di Malaysia, dan setanding dengan sistem pendidikan antarabangsa. Aspirasi sistem pendidikan negara adalah untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa mengikut pengukuran TIMSS dan PISA dalam tempoh 15 tahun yang akan datang (TIMSS dan PISA menguji Bacaan, Matematik dan Sains sahaja). Pentaksiran tambahan yang menangani dimensi kualiti lain yang relevan dengan konteks Malaysia boleh dimasukkan apabila dimensi itu dibangunkan dan diterima di peringkat antarabangsa.

3. EKUITI



Sistem pendidikan berprestasi tinggi menyediakan pendidikan yang terbaik kepada setiap kanak-kanak tanpa mengira kedudukan geografi, gender atau latar belakang sosioekonomi. Kementerian berhasrat untuk merapatkan lagi jurang pencapaian antara murid bandar dengan luar bandar, tahap sosioekonomi dan pencapaian antara gender sehingga 50% menjelang 2020.

4. PERPADUAN



Murid yang berusia antara 7 hingga 17 tahun menghabiskan lebih satu perempat daripada masa mereka di sekolah. Melalui interaksi bersama murid lain daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi, agama dan etnik, murid belajar memahami, menerima dan menghayati perbezaan. Keadaan ini mewujudkan suatu perkongsian pengalaman dan aspirasi bagi membina masa hadapan Malaysia. Kementerian berhasrat menjana suatu sistem pendidikan yang memberi peluang kepada murid berkongsi pengalaman dan aspirasi demi membentuk dan memperkukuhkan lagi asas perpaduan rakyat Malaysia.

5. KECEKAPAN



Sistem pendidikan Malaysia telah menerima peruntukan yang tinggi, namun peningkatan keberhasilan murid masih tidak sepadan dengan sumber yang telah disalurkan ke dalam sistem. Walaupun Kerajaan akan terus mengekalkan tahap pelaburan semasa, Kementerian berhasrat untuk memaksimumkan keberhasilan murid mengikut tahap peruntukan semasa.

5 Ulasan

  1. Menjadi rujukan apabila menyediakan teks ucapan utk disampaikan kpd pelajar-pelajar sekolah. Terima kasih.

    BalasPadam
  2. SUMBER RUJUKAN UNTUK SAYA BUAT KERJA KURSUS. THANKYOU CIKGU.

    BalasPadam
  3. izinkan saya jadikan maklumat ini sebagai bahan rujukan untuk kerja kursus saya. Terima kasih Cikgu Suhaimin.

    BalasPadam
  4. Shukran cikgu semoga sentiasa dirahmati Allah.

    BalasPadam
  5. Izinkan saya gunakan sebagai rujukan untuk kerja kursus saya.terima kasih cikgu

    BalasPadam

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

BACA JUGA